‘TIGA JIWA, SATU IRAMA’: KELAB TIONG HWA KTSN ANGKAT KEKAYAAN WARISAN TRADISIONAL MELALUI MALAM TRIO TRADISI

Pada 17 Disember 2025, Kelab Tiong Hwa, Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah berjaya menganjurkan Program Malam Trio Tradisi di Dewan Tun Syed Nasir, KTSN, yang menghimpunkan seramai 141 orang peserta daripada pelbagai latar belakang kaum.

 

Program ini menampilkan keindahan serta kekayaan warisan budaya tradisional pelbagai kaum dengan mengangkat tema “Tiga Jiwa, Satu Irama”. Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar terhadap budaya Cina, Melayu dan India, malah turut memupuk semangat perpaduan melalui penghargaan terhadap seni dan budaya tradisional.

 

Antara pengisian utama program ialah pelbagai reruai kebudayaan yang diadakan di Dewan Tun Syed Nasir. Reruai-reruai tersebut merangkumi Kelas Pembuatan Kipas Lakuer, Kelas Penulisan Kuplet, Dot Rangoli Delight, Spice & Sniff Challenge, Seni Takat Benang Emas, serta Manik dan Pakaian Tradisional. Melalui aktiviti ini, para peserta berpeluang mencuba sendiri pelbagai seni dan kraf tangan tradisional dengan bimbingan ahli jawatankuasa yang berpengalaman, sekali gus mempromosikan kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Program turut diserikan dengan persembahan Gendang 24 Musim oleh pelajar KTSN yang berbakat.

Penganjuran Malam Trio Tradisi membuktikan komitmen semua pihak dalam mempromosikan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 16: Keamanan, Keadilan, dan Institusi Kukuh). Secara keseluruhannya, program ini dapat memperkukuh kesedaran dan pemahaman pelajar terhadap kepelbagaian budaya.