Mahasiswa UKM–Universiti Macau Kupas Model Pembangunan Kemahiran Insaniah Holistik di Kolej Kediaman Bertaraf Global

MACAU, 8 Mac 2026 – Seramai 50 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Macau (UM) telah menjayakan program mobiliti akademik dan budaya menerusi program Syed Nasir X Ibu Zain (SNIB) CONNECTS 2026 yang merupakan sebuah inisiatif yang menggabungkan kajian sistem kolej kediaman dan pertukaran budaya bersama UM.

Program berimpak tinggi ini dilaksanakan dengan kerjasama Professor Dr. Hui Sai Chuen Stanley, Pengetua, Henry Fok Pearl Jubilee College (HFPJC), sebuah kolej kediaman terkenal di UM yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dan pembangunan sahsiah pelajar secara holistik. Pelbagai sesi perkongsian dan perbincangan telah diadakan bagi mengkaji perbezaan sistem kolej akademia antara kedua-dua institusi seterusnya membuka ruang kepada pelajar UKM untuk memahami budaya, sistem pembelajaran, dan perspektif global di UM. Secara umum, kedua-dua universiti berkongsi pendekatan dalam memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa melalui pelbagai program pengayaan yang dilaksanakan dalam konteks kolej kediaman, yang berfungsi bukan sahaja sebagai tempat penginapan, malah sebagai platform pembangunan pelajar. 

Pengetua Kolej Ibu Zain, Ts. Dr. Nurhidayah Bahar menegaskan bahawa program ini merupakan platform strategik untuk memperkasa pemahaman pelajar tentang sistem pendidikan rentas sempadan, khususnya sistem kolej kediaman yang berupaya melahirkan graduan berdaya saing global. 

“Sepanjang program ini, para pelajar tidak hanya mendalami perbezaan sistem kolej kediaman antara UKM dan UM, malah turut bergerak aktif dalam aktiviti pertukaran budaya seperti Bengkel Lukisan Batik, Seni Bela Diri serta Kaligrafi Melayu dan Cina. Pengalaman ini mengasah jati diri dan kemahiran insaniah pelajar, di samping memartabatkan warisan budaya Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Pengarah Program, Chuah Tiong Li pula menyatakan bahawa penglibatan dalam program ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami kepelbagaian sistem pendidikan tinggi sekali gus memperkukuh jaringan sosial antara institusi.

“Kami bukan sahaja dapat mempelajari pendekatan pendidikan di Macau, malah berpeluang menjalinkan persahabatan erat dengan mahasiswa UM melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Ini adalah pengalaman yang tidak ternilai,” ujarnya. 

Delegasi turut menyelami warisan sejarah Macau melalui pelbagai lawatan bermakna, termasuk ke Masjid Macau, Reruntuhan Gereja St. Paul’s, dan Muzium Kesenian Macau. Pengalaman ini diperkaya dengan ceramah oleh Prof. Glenn Timmermans yang mengupas perkembangan sejarah Macau dari zaman pemerintahan Portugis hingga era moden yang memberikan perspektif menyeluruh tentang identiti unik wilayah ini sebagai titik pertemuan tamadun Timur dan Barat. Aktiviti kembara di sekitar Taipa, Macau turut diadakan, menggabungkan elemen pendidikan dengan penerokaan budaya secara langsung.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dan Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global). SNIB CONNECTS 2026 menjadi simbol kerjasama dua institusi pendidikan tinggi dalam menyemai nilai kepimpinan dan kesarjanaan rentas sempadan. Lebih daripada sekadar program mobiliti antarabangsa, SNIB CONNECTS 2026 membuktikan bahawa pelajar Malaysia mampu tampil sebagai duta kecil yang bukan sahaja berilmu, malah berupaya memartabatkan warisan budaya dan membina jaringan global yang bermakna.