KHIDMAT KOMUNITI: DARI HATI KE HATI, SEHARI BERSAMA SAYAP KASIH

Pada 4 April 2026, Program Khidmat Komuniti ini telah berjaya dianjurkan bersempena dengan Pesta Ang Pow KTSN UKM KL Ke-27 di Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia (1Q70 plus), Petaling Jaya. Program ini melibatkan seramai 36 orang ahli jawatankuasa Pesta Ang Pow (PAP) Ke-27 yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan aktiviti yang telah dirancang.

Program ini dilaksanakan sebagai satu inisiatif bagi memupuk semangat kesukarelawanan serta keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa. Tujuan penganjuran program ini bukan sahaja untuk menyemai nilai-nilai murni seperti empati dan kasih sayang dalam kalangan ahli jawatankuasa melalui aktiviti khidmat masyarakat, malah turut meningkatkan kesedaran terhadap peranan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan seperti warga emas, anak yatim piatu, dan orang kurang upaya.

Program bermula dengan sesi interaksi dengan penghuni dan senaman ringan bagi mewujudkan suasana interaksi yang lebih mesra. Antara pengisian utama program ialah sesi kraf tangan bersama penghuni seperti membuat seni kraf dan lukisan mudah. Para peserta turut terlibat dalam kerja-kerja pembersihan kawasan, seperti memotong lalang, serta membantu penghuni dalam aktiviti harian, termasuk memberi makan kepada mereka yang diperlukan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, para peserta berpeluang menyantuni serta berinteraksi secara langsung dengan penghuni, sekali gus mencapai objektif aktiviti ini, iaitu menjalin hubungan silaturahim antara pelajar KTSN dan komuniti luar melalui aktiviti kesukarelawanan yang bermakna.

Penganjuran Pesta Ang Pow (PAP) Ke-27 di Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia (1Q70 Plus) membuktikan komitmen semua pihak dalam memupuk keharmonian serta kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 16: Keamanan, Keadilan, dan Institusi Kukuh). Secara keseluruhan, program Khidmat Komuniti ini berjaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman peserta terhadap golongan yang memerlukan, sambil menggalakkan nilai toleransi, empati, dan penyertaan aktif dalam aktiviti kebajikan.c