“Tangan Mahasiswa, Nadi Komuniti”: Program Harmoni Satu Bumi 2.0 Santuni Penduduk Pos Lanai

PAHANG, 9 Mei — Keheningan Kampung Orang Asli Pantos, Pos Lanai, Kuala Lipis hari ini diceriakan dengan kehadiran mahasiswa dalam Program Harmoni Satu Bumi 2.0. Program yang dianjurkan Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menyaksikan sinergi erat antara 38 mahasiswa, pihak pentadbiran kolej, dan kira-kira 1,000 penduduk setempat dalam satu wadah kemasyarakatan yang cukup berimpak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands. Kehadiran beliau bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan komitmen jitu pelbagai pihak dalam memacu kesejahteraan dan memperkasakan pembangunan komuniti orang asli secara inklusif.

Mengangkat tema “Tangan Mahasiswa, Nadi Komuniti”, program ini menjadi jambatan yang menyatukan dunia akademik dengan realiti masyarakat melalui pengisian berteraskan kesihatan, pendidikan, dan sukan. Selain memberi nilai tambah kepada penduduk, inisiatif ini memberi ruang buat mahasiswa mendalami erti kebersamaan dalam suasana penuh kekeluargaan.

“Tunjang utama program ini ialah untuk menekankan aspek kesedaran kesihatan kepada komuniti setempat melalui pendekatan interaktif di samping menerapkan semangat kesukarelawanan mahasiswa,” menurut Pengarah Program Harmoni Satu Bumi 2.0, Nurnabilah Huda Epri.

Aspek kesejahteraan kanak-kanak menjadi fokus utama melalui Kempen Gosok Gigi dan Cuci Tangan. Melalui demonstrasi interaktif bersama mahasiswa KTSN, kesedaran terhadap kepentingan kebersihan diri diterapkan sejak usia dini. Tidak ketinggalan, dimensi pendidikan diperluas menerusi program Celik Kreatif menggunakan STEM Kit hasil sumbangan Yayasan MR DIY. Aktiviti ini berjaya mencetuskan rasa ingin tahu dan pemikiran kritis kanak-kanak terhadap dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik dalam suasana yang menyeronokkan.

Kemeriahan program terus memuncak dengan aktiviti riadah seperti senamrobik dan pertandingan futsal persahabatan. Gelak tawa menyelubungi dewan apabila kanak-kanak menyertai permainan tradisional seperti rebut kerusi dan cari gula-gula dalam tepung, sekali gus mengeratkan lagi ikatan ukhuwah yang sedia terjalin.

Keunikan program ini terserlah menerusi aktiviti Saji Satu Hati, di mana tradisi ‘rewang’ atau gotong-royong menyediakan juadah makan tengah hari menjadi medan interaksi utama. Di sini, mahasiswa berpeluang menyelami kearifan tempatan serta menyelami budaya dan adat resam masyarakat Orang Asli secara langsung dalam suasana yang harmoni.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi merupakan satu langkah murni dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan cakna terhadap keperluan sosial. Semangat kesukarelawanan yang dizahirkan di Pos Lanai ini diharapkan terus menjadi inspirasi dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu padu pada masa hadapan.