Ikatan Anak Syed Nasir Kekal Mekar Lewat Program Sembang Santai: Bicara Nostalgia Bersama Alumni
Pada 21 Jun 2026, program Sembang Santai: “Bicara Nostalgia Bersama Alumni” telah berlangsung dengan jayanya di Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena program Alumni Balik Kampus anjuran Pusat Perhubungan Alumni UKM. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini menghimpunkan para alumni dan pelajar dalam suasana santai, penuh nostalgia serta sarat dengan perkongsian inspirasi.
Program dimulakan dengan pendaftaran peserta dan ketibaan tetamu kehormat sebelum diteruskan dengan sesi utama yang dikendalikan oleh moderator, Saudara Muhammad Shameel bin Mohd Shah. Tiga orang alumni hebat telah dijemput sebagai panel iaitu Puan Masfara Wahidah binti Abdul Rahman, Founder dan CEO Diet Ideas Sdn. Bhd., Puan Noraishah Kassim, CEO Aishah Kassim Academy, dan Dr Hariff Ahamat, Penerbit Drama dan Filem merangkap pengasas Anomali Media Sdn. Bhd.
Sepanjang sesi berlangsung, para panel berkongsi pengalaman semasa bergelar pelajar di Kolej Tun Syed Nasir, cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanan kerjaya serta pelbagai kenangan manis yang masih terpahat dalam ingatan mereka. Sesi interaktif “Alumni Spill The Tea” turut menceriakan suasana apabila para panel mengimbau kembali kisah-kisah lucu dan pengalaman mereka ketika di alam universiti, sekali gus mencetuskan gelak tawa dan keterujaan dalam kalangan hadirin.
Selain menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, program ini juga berjaya mengeratkan hubungan antara alumni dan pelajar serta memberi inspirasi kepada warga Kolej Tun Syed Nasir untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Program Sembang Santai: “Bicara Nostalgia Bersama Alumni” membuktikan bahawa ikatan sebagai Anak Syed Nasir sentiasa utuh dan kekal mekar walau di mana jua alumni berada. Program seperti ini dapat menghidupkan semangat kekitaan serta memperkukuhkan legasi Kolej Tun Syed Nasir yang sentiasa dibanggakan.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan menekankan aspek pendidikan berkualiti (SDG 4) melalui perkongsian ilmu, pengalaman kerjaya, dan bimbingan inspirasi daripada alumni kepada mahasiswa, serta memperkukuh perkongsian untuk mencapai matlamat (SDG 17) menerusi kolaborasi strategik antara pihak universiti, Pusat Perhubungan Alumni UKM, dan para alumni industri dalam memperkasakan legasi institusi demi manfaat bersama.