Bengkel Pengurusan Jenazah 2025

Pengurusan jenazah merupakan salah satu cabang fardhu kifayah yang sangat dituntut dalam syariat Islam. Ia bukan sekadar urusan adat atau budaya semata-mata, tetapi suatu tanggungjawab dalam agama yang membawa keberkatan kepada umat sekiranya dilaksanakan dengan ilmu, adab dan keinsafan. Justeru itu, Islam menekankan agar urusan jenazah tidak dilengahkan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ

Maksudnya: Apabila matinya salah seorang dari kamu maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya) dan segerakanlah membawanya ke kuburnya.

Riwayat al-Baihaqi (8689)

Hadis ini memberi isyarat yang jelas bahawa jenazah perlu diurus dengan segera, cermat dan penuh hikmah, sebagai tanda menghormati hak si mati dan menyempurnakan amanah yang dipikul oleh umat yang masih hidup. Bahkan dalam masyarakat Islam, pengurusan jenazah bukan hanya tugas waris, tetapi kewajipan kolektif ummah yang jika tidak dilaksanakan, seluruh masyarakat berdosa. Maka, ilmu pengurusan jenazah ini wajib diturunkan dan disebarkan dalam kalangan generasi muda, agar mereka bukan sahaja mengetahui, tetapi bersedia memikul tugas ini bila tiba waktunya.

Sebagai usaha memperkasa kefahaman terhadap tuntutan fardhu kifayah dalam kalangan mahasiswa, Kelab Kerohanian Islam Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) sesi 2024/2025 telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Jenazah pada 18 Mei 2025 (Sabtu) yang bertempat di Surau Tun Syed Nasir. Program ini telah mendapat penyertaan aktif daripada sekitar 80 orang pelajar. Turut hadir bagi menyempurnakan majlis ialah Dr. Siti Hajar binti Zuber, Timbalan Pengetua Kolej Tun Syed Nasir dan Felo Kolej, Cik Siti Aishah binti Shuib, sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif keilmuan dan pembinaan sahsiah mahasiswa.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Khairil Anwar bin Abdul Latif, Ketua Jabatan Kaunseling Pesakit dan Spiritual Kaunselor dari Institut Jantung Negara (IJN), yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kematian serta bimbingan kerohanian. Seiring dengan tema program “Khidmat Terakhir: Panduan Lengkap Pengurusan Jenazah”, para peserta telah mengikuti dua sesi utama iaitu sesi teori yang membincangkan hukum hakam dalam pengurusan jenazah, tatacara dan adab menguruskan, memandikan, mengkafankan, menyolatkan, sehinggalah kepada urusan pengebumian jenazah menurut perspektif syarak. Sesi ini diikuti dengan sesi praktikal yang merangkumi simulasi lengkap proses pengurusan jenazah, khususnya proses mengkafankan jenazah. Pendekatan interaktif dan mesra oleh penceramah telah menjadikan penyampaian beliau lebih menyeluruh,  santai, dan menghiburkan menjadikan penyampaian beliau sangat dekat dengan peserta.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya membuka ruang kesedaran dan pemahaman mendalam kepada para peserta tentang betapa besarnya nilai pengurusan jenazah sebagai khidmat akhir yang dituntut agama. Ia bukan sahaja memperkukuh ilmu dalam bidang fiqh kematian, bahkan turut menyuburkan jiwa dengan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Semoga penganjuran program seperti ini terus menjadi platform penting dalam membentuk generasi yang celik agama, berakhlak mulia, dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat dengan ilmu serta ihsan.