BENGKEL PENGURUSAN ORGANISASI 2025 – KTSN MANTAPKAN KEPIMPINAN PELAJAR
Seramai 470 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan majlis tertinggi setiap kelab KTSN telah menyertai Bengkel Pengurusan Organisasi 2025, anjuran Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 11 Oktober 2025 bertempat di Dewan Tun Syed Nasir. Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran pengurusan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar kolej.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan ilmu dan kemahiran praktikal berkaitan tatacara pengurusan program, penyediaan dokumen rasmi, pengurusan kewangan yang efisien, serta strategi komunikasi media yang berkesan.
Penganjuran ini menjadi platform penting dalam melatih barisan kepimpinan pelajar agar lebih berdaya saing, tersusun dan profesional dalam menguruskan organisasi serta aktiviti di peringkat kolej. Pihak kolej turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua peserta atas penyertaan aktif sepanjang bengkel dijalankan serta kepada urus setia yang telah menjayakan program ini dengan cemerlang.