Dari Borneo ke Timur: Pasar ADIKA 2026 Satukan Mahasiswa KTSN Melalui Sajian Warisan

Seramai kira-kira 300 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai program “Pasar ADIKA 2026” yang dianjurkan oleh Kelab Adiwara Pusaka (ADIKA) Kolej Tun Syed Nasir (KTSN). Program ini telah berlangsung pada 5 April 2026 di Dewan Tun Syed Nasir dan mengetengahkan tema “Semarak Budaya, Semarak Warisan” sebagai usaha memartabatkan warisan budaya dalam kalangan generasi muda.

Program berteraskan kebudayaan ini dianjurkan sebagai satu platform untuk memperkenalkan kepelbagaian tradisi masyarakat Malaysia melalui pendekatan interaktif dan santai. Inisiatif ini bertujuan menyemai semangat cinta budaya, di samping memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengunjungi pelbagai booth makanan warisan yang dibahagikan mengikut zon utama seperti Utara, Selatan, Timur dan Borneo. Selain itu, program ini turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian, nyanyian dan silat yang mencerminkan keunikan warisan negara. Program ini turut menampilkan aktiviti permainan interaktif yang berjaya menarik penglibatan aktif dalam kalangan peserta.

Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana yang meriah dan penuh nilai kebudayaan, malah turut menjadi medium dalam memperkukuh hubungan sosial antara pelajar. Secara tidak langsung, program ini memberi pendedahan bermakna kepada peserta mengenai kepentingan memelihara warisan budaya sebagai identiti bangsa.

Penyertaan pelajar dalam program ini juga mencerminkan sokongan terhadap SDG 4: Pendidikan Berkualiti iaitu memastikan pendidikan berkualiti, menyeluruh dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua. Pendekatan program yang berunsurkan kebudayaan ini telah menyediakan pengalaman pembelajaran tidak formal yang mampu memperkaya pengetahuan serta kesedaran peserta terhadap warisan negara.

Secara keseluruhannya, program Pasar ADIKA 2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta menjadi satu inisiatif berimpak dalam memperkasa nilai kebudayaan dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.