KEMPEN DERMA DARAH BSMM DETACHMENT 88W KTSN SESI 2025/2026 – 79 PEK DARAH BERJAYA DIKUMPUL DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
Pada 13 Jun 2026, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Detachment 88W Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN), telah berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah BSMM Detachment 88W KTSN Sesi 2025/2026 yang berlangsung dengan penuh semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan, bertemakan “Derma Darah, Jiwa Indah”.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kolej, warga UKM serta masyarakat setempat, dengan berjaya mengumpulkan sebanyak 79 pek darah bagi membantu memenuhi keperluan bekalan darah negara. Penganjuran kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara berkala, di samping memupuk semangat kemanusiaan dan budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Sambutan yang memberangsangkan, termasuk daripada penderma kali pertama, membuktikan kesedaran yang semakin meningkat terhadap tanggungjawab sosial serta kepentingan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Selaras dengan tema “Derma Darah, Jiwa Indah”, program ini bukan sahaja menjadi platform untuk membantu pesakit yang memerlukan transfusi darah, malah turut menyemai nilai empati, kasih sayang dan keprihatinan terhadap insan lain. Kerjasama erat antara BSMM Cabang UKM dan Pusat Darah Negara dalam menjayakan program ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa berada pada tahap yang mencukupi. Di samping memperkukuh hubungan strategik antara BSMM Cabang UKM dan Pusat Darah Negara, kempen ini turut berjaya menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan serta memperkasa semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan menekankan aspek kesihatan baik dan kesejahteraan (SDG 3) melalui usaha membantu memastikan bekalan darah yang mencukupi bagi pesakit yang memerlukan, menggalakkan keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh (SDG 16) melalui pemupukan nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam masyarakat, serta memperkukuh perkongsian untuk mencapai matlamat (SDG 17) menerusi kolaborasi strategik antara BSMM Cabang UKM dan Pusat Darah Negara dalam menjayakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.