KURSUS PENYEMBELIHAN
Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) sesi 2024/2025 telah menganjurkan Kursus Penyembelihan bertemakan “Penyembelihan dalam Islam: Menghormati Ciptaan Allah dan Memastikan Halal” yang berlangsung pada Sabtu, 17 Mei 2025. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 3.30 petang ini berjaya menghimpunkan seramai 83 pelajar KTSN serta barisan felo kolej dalam sebuah inisiatif pendidikan yang menekankan kefahaman menyeluruh terhadap kaedah penyembelihan yang sah, bersih, dan penuh etika menurut ajaran Islam.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuk ceramah Kursus Penyembelihan oleh pegawai Pusat Islam cawangan Kuala Lumpur , sesi praktikal penyembelihan haiwan, aktiviti memasak secara gotong-royong, dan diakhiri dengan jamuan makan tengahari yang menyatukan semua peserta. Menurut wakil penganjur, program ini bertujuan membekalkan ilmu serta kemahiran asas kepada para pelajar berkaitan proses penyembelihan halal yang mematuhi syariat Islam, di samping menerapkan nilai ihsan dan penghormatan terhadap makhluk ciptaan Allah.
“Penyembelihan bukan hanya soal teknikal, ia juga berkait rapat dengan akidah, akhlak, dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” ujar salah seorang pegawai kursus. Program ini dilihat telah berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta terhadap kepentingan pematuhan hukum halal serta amalan penyembelihan yang beretika dan penuh rasa tanggungjawab.