Pesta Ang Pow Ke-26
Kelab Tiong Hwa Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah berjaya menganjurkan Pesta Ang Pow (PAP) Ke-26 bagi sesi 2024/2025 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Tun Syed Nasir (DTSN), KTSN. Program ini yang telah menjadi tradisi tahunan sejak 25 tahun lalu, terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan mahasiswa/i dan menjadi antara program kebudayaan yang paling dinanti-nantikan di UKM Kampus Kuala Lumpur.
PAP kali ini bertemakan “Musim dalam Seri” dengan slogan “semangat dalam musim, suburkan seri budaya”, yang membawa para penonton menyusuri keindahan budaya masyarakat Cina melalui empat musim utama iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk, masing-masing diiringi dengan perayaan tradisional seperti Tahun Baru Cina, Pesta Duanwu, Pesta Tanglung dan Dongzhi. Gabungan unsur musim dan perayaan ini telah diterjemahkan secara kreatif dalam bentuk persembahan dan pameran, membolehkan para hadirin menikmati suasana budaya masyarakat Cina dalam satu malam yang penuh warna-warni.
Penganjuran PAP Ke-26 bertujuan menyebarkan kekayaan budaya Cina yang sarat dengan tradisi turun-temurun, di samping menjadi platform untuk menyatukan warga KTSN yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Program ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk mengenali, memahami dan menghargai budaya Cina dengan lebih mendalam, sekali gus memupuk semangat persefahaman dan keharmonian antara kaum di institusi pengajian tinggi. Seperti kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’, pendedahan kepada kepelbagaian budaya ini diharap dapat menanam rasa hormat dan bangga terhadap warisan pelbagai kaum di negara ini.
Antara persembahan yang menyerikan program pada malam tersebut termasuklah lakonan, tarian moden, persembahan Gendang 24 Musim, tarian tradisional dan nyanyian. Setiap persembahan direka khas untuk mencerminkan ciri dan makna budaya yang dibawa oleh setiap musim dan perayaan, menjadikan keseluruhan program sebagai satu pengalaman budaya yang mendalam dan bermakna.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Stanley Hui Sai Chuen, Pengetua Kolej Henry Fok Pearl Jubilee (HFPJ), Universiti Macau, bersama Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril, Pengetua Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), dan Dr. Siti Hajar Zuber, Timbalan Pengetua KTSN. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Dr. Akmal Sabarudin, Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global).
Seramai 350 orang mahasiswa telah menghadiri program tersebut, membuktikan sambutan positif terhadap inisiatif kebudayaan yang menggalakkan integrasi dan perpaduan kaum melalui penghargaan terhadap seni dan warisan budaya. Kejayaan Pesta Ang Pow Ke-26 sekali lagi membuktikan bahawa program sebegini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni, selaras dengan matlamat UKM sebagai institusi pendidikan yang mendukung nilai keterangkuman, kebudayaan dan perpaduan nasional.