Pada 21 Jun 2025, Program Hari Terbuka Kolej Tun Syed Nasir 2025: #MemoriAnakSyedNasir, bersempena Alumni Balik Kampus (Alumni Homecoming) telah berlangsung dengan jayanya di Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini menghimpunkan alumni serta pelajar kolej dalam suasana santai, penuh nostalgia dan semangat kekitaan.
Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran para alumni dan pelajar yang disambut mesra oleh urus setia. Aktiviti diteruskan dengan sesi sukaneka santai yang menggabungkan alumni dan pelajar dalam pelbagai permainan seperti lari dalam guni, boling padang, dan rebut kerusi. Suasana gelak tawa dan sorakan semangat jelas menunjukkan keterujaan peserta dari pelbagai generasi.
Seterusnya, program disemarakkan dengan aktiviti funfair yang dihiasi gerai makanan, permainan mini dan cabutan bertuah.
Menambahkan lagi kemeriahan, pasukan atlet alumni Kolej Tun Syed Nasir yang telah dihantar untuk bertanding dalam kejohanan bersama alumni kolej-kolej lain turut mencatatkan pencapaian membanggakan. Pasukan tersebut berjaya merangkul tempat pertama dalam acara bola tampar, tempat keempat dalam acara bola jaring, dan penghargaan dalam acara bola sepak. Tahniah dan terima kasih kerana menunjukkan semangat juang dan kerjasama berpasukan sepanjang pertandingan.
Program Hari Terbuka Kolej Tun Syed Nasir 2025 bukan sahaja menjadi platform merapatkan ukhuwah antara alumni dan pelajar, tetapi juga menghidupkan kembali kenangan manis sebagai Anak Syed Nasir yang sentiasa bangga dengan kolej tercinta.