KOLEJ TUN SYED NASIR

 Universiti Kebangsaan Malaysia

RAINBOW OF LIFE FORCES – SUKARELAWAN UKM SEMARAK KEAMANAN

Seramai 11 orang sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) telah menyertai “Rainbow of Life Forces (ROLF) Campaign” sempena sambutan Hari Keamanan Dunia 2025 yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur. Program ini turut disertai oleh mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi, menjadikannya platform kolaboratif bagi menyemai semangat kesukarelawanan dan keamanan sejagat.

Program berimpak sosial ini dilaksanakan dengan kerjasama Creativision Group of Companies, sebuah badan komuniti tidak berasaskan keuntungan, dan mendapat tajaan daripada Walnut Ice Cream. Penganjuran ini bertujuan memperkasakan suara golongan yang dipinggirkan, khususnya mereka yang menghadapi tekanan akibat krisis global, kesusahan ekonomi dan pengasingan sosial.

Sepanjang program berlangsung, sukarelawan UKM terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif bersama anak-anak yang menyertai program ini, termasuk persembahan “Inclusive Peace Dance” Reben Oren yang membawa mesej perpaduan. Program turut diserikan dengan majlis penyerahan cenderamata, sesi pertemuan antara penderma dan anak-anak yatim serta makan malam. Puan Adelyn Lim, Pengasas Rainbow of Life Forces (ROLF), menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa/i telah membantu membuka mata ramai pihak tentang anak-anak yang memerlukan bantuan melalui perkongsian di media sosial.

Penyertaan sukarelawan UKM dalam kempen ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) yang menekankan perpaduan serta keharmonian sejagat. Program ini berfungsi sebagai medan pembelajaran bermakna bagi mahasiswa UKM untuk memahami erti keamanan, kasih sayang dan keterangkuman dalam masyarakat majmuk