Rang De Ranggoli 24/25
Pada 18 Mei 2025 (Ahad), Kelab Kebudayaan India, Kolej Tun Syed Nasir telah menganjurkan program Rang De Ranggoli Sesi 2024/2025. Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Nurwina Akmal Anuar, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif) Hal Ehwal Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia, diiringi oleh Prof. Madya Dr. Razif Shahril, Pengetua Kolej Tun Syed Nasir; En. Rudy Franke, wakil Pertubuhan Kebajikan Suriana; Dr. Siti Hajar Zuber, Timbalan Pengetua Kolej Tun Syed Nasir; dan Ajeet A/L Vejayan selaku Pengarah Rang De Ranggoli 2024/2025.
Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan satu platform kepada mahasiswa dan mahasiswi Kolej Tun Syed Nasir khususnya, dalam menghayati dan mendalami keunikan budaya India di Malaysia. Rang De Ranggoli 24/25 juga merupakan program kebajikan yang menyasarkan kutipan dana untuk golongan yang memerlukan. Sepanjang persediaan program ini, sebanyak RM3,000.00 telah berjaya dikumpul dan disumbangkan kepada 20 keluarga yang memerlukanmelalui Pertubuhan Kebajikan Suriana.
Rang de Ranggoli 24/25 berjaya memukau penonton dengan pelbagai persembahan menarik oleh pelajar-pelajar Kolej Tun Syed Nasir. Melalui persembahan tersebut, setiap perayaan utama masyarakat India diperkenalkan dan diceritakan, sekaligus menanam rasa cinta dan penghargaan terhadap budaya India.
Program sebegini wajar diteruskan kerana bukan sahaja menyemarakkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya, malah turut menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa. Ibarat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, mahasiswa/i bukan sahaja bersama-sama menjayakan program budaya, tetapi turut berganding bahu membantu mereka yang memerlukan. Malah, usaha ini juga boleh diibaratkan seperti “sambil menyelam minum air”, kerana dalam satu masa, dua matlamat berjaya dicapai iaitu memperkukuh apresiasi budaya dan menabur jasa kepada masyarakat.