Santunan Kasih : UKM Kongsi Rezeki 2025​

Pada 14 Jun 2025, Program Santunan Kasih telah berjaya dilaksanakan di Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh oleh Kelab Keusahawanan Muda, Kolej Tun Syed Nasir. Program ini bertujuan menyemai semangat kepedulian sosial dan kebersamaan dalam kalangan peserta, di samping menyantuni golongan yang memerlukan melalui khidmat masyarakat yang inklusif dan berimpak.

Seawal pagi, program dimulakan dengan sesi sarapan pagi yang disediakan oleh warga Kolej Tun Syed Nasir untuk para penghuni rumah kebajikan tersebut. Inisiatif ini selaras dengan SDG 2: Kelaparan Sifar, yang menekankan kepentingan akses kepada makanan berkhasiat dan mencukupi untuk semua lapisan masyarakat, termasuk golongan rentan.

Selesai bersarapan, para peserta berganding bahu menjalankan aktiviti pembersihan kawasan perumahan. Tugas-tugas pembersihan dilaksanakan dengan penuh semangat kerjasama dan tanggungjawab sosial, selaras dengan SDG 3: Kehidupan Sihat dan Sejahtera, yang turut merangkumi aspek persekitaran sihat sebagai prasyarat kepada kesejahteraan komuniti. Suasana yang ceria dan harmoni sepanjang aktiviti ini mencerminkan nilai perpaduan dan keterlibatan aktif dalam mewujudkan komuniti yang sihat dan sejahtera.

Sebagai penutup, satu sesi penyerahan sumbangan telah diadakan. Pihak pengurusan rumah menerima cek cura serta sijil penghargaan sebagai simbolik komitmen dan sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan yang disampaikan oleh Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, Prof. Madya Dr. Mohd. Razif Shahril. Usaha seperti ini secara tidak langsung menyumbang kepada SDG 11: Bandar dan Komuniti yang Mampan, khususnya dalam memperkukuh keterangkuman sosial dan mempertingkatkan kualiti hidup di kawasan komuniti rentan.

Program Santunan Kasih menjadi manifestasi komitmen bersama dalam usaha membina masyarakat penyayang, inklusif dan prihatin, seiring dengan aspirasi universiti sebagai pemangkin pembangunan komuniti yang lestari.