KOLEJ TUN SYED NASIR

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Syed Nasir: CONNECTS 2024

Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan telah menjayakan Program Mobiliti Antarabangsa Ke Universiti Chulalongkorn, Thailand pada 31 Julai hingga 4 Ogos 2024. Program yang bertemakan “Break Barriers, Exchange Cultures” juga dikenali sebagai Syed Nasir Cross-Cultural Odyssey of Nurturing Exchange (Syed Nasir CONNECTS) telah melibatkan 20 orang pelajar dalam menjayakan agenda Kolej Akademia UKM sekali gus menjadi program yang meraikan sinergi kolej kediaman dan fakulti dalam pembangunan kemahiran insaniah pelajar. Ia juga aktiviti pertama sempena Sambutan Ulang Tahun 25 Tahun Penubuhan Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), UKM. 

Program Syed Nasir CONNECTS ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berjiwa global sekaligus memenuhi moto UKM, Ilmu, Mutu dan Budi. Program lima hari ini diisi padat dengan pelbagai aktiviti yang memberi peluang pertukaran budaya di antara pelajar Malaysia dan Thailand. Antaranya adalah eksplorasi seni kebudayaan, makanan tradisi, pakaian tradisi, bahasa dan senibina. Pada tahun ini, delegasi turut melawat pejabat United Nation serantau iaitu The Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) dimana ia merupakan hub yang berfokus untuk menggalakkan pembangunan lestari (SDG) dan pengurusan sumber di rantau Asia-Pasifik. 

Program ini disempurnakan oleh Dr. Panupong Thammachoti, Penolong Dekan, Fakulti Sains, Universiti Chulalongkorn dan turut disertai pelajar Fakulti Sains, Universiti Chulalongkorn. Turut hadir adalah Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril, Pengetua, Kolej Tun Syed Nasir, UKM, Dr. Siti Hajar bin Zuber, Timbalan Pengetua, Kolej Tun Syed Nasir, UKM, Dr. Mohd Sham Othman, Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Sains Kesihatan, UKM serta Pegawai Pengiring.