SYED NASIR CONNECTS 2025 – PENGEMBARAAN GLOBAL KTSN KE FILIPINA
Seramai 31 mahasiswa dan staf Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjayakan program Syed Nasir CONNECTS 2025 dengan menyantuni 74 pesakit kanser kanak-kanak di Kythe Foundation.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Ateneo de Manila dan Kythe Foundation sebagai usaha memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa. Antara pengisian utama ialah terapi permainan, seni ekspresif dan aktiviti sokongan emosi bersama pesakit serta keluarga mereka.
Menurut Pengetua KTSN, Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril, keterlibatan secara langsung ini memberi pengalaman berharga yang mengasah empati, membina keprihatinan sosial dan menambah kemahiran insaniah pelajar. Pengarah Program, Cheah Sheng Zhong pula menegaskan pengalaman ini menjadi memori seumur hidup yang menyemai semangat sukarelawan dan kekuatan jiwa.
Selain itu, delegasi turut diberi peluang menimba ilmu di The Medical City, salah satu pusat perubatan swasta terkemuka di Asia. Lawatan ini membuka ruang kepada pelajar kesihatan UKM untuk memahami sistem penjagaan pesakit bertaraf antarabangsa serta berdiskusi bersama tenaga profesional.
Bagi melengkapkan pengalaman, rombongan juga berkesempatan meneroka budaya dan sejarah Filipina melalui lawatan ke beberapa lokasi bersejarah di Kota Manila. Keseluruhan pengisian program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Filipina, malah membuktikan keupayaan mahasiswa UKM menjadi agen perubahan global yang berjiwa besar dan berintelek tinggi.