SYED NASIR SPORT EVENT (SENSE) 8.0 – KERJASAMA KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN KAWASAN SETIAWANGSA DAN TITIWANGSA SEMPENA HARI SUKAN NEGARA
Pada 12 Oktober 2025, Kelab Sukan dan Rekreasi (SUKRES), Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Kawasan Setiawangsa dan Titiwangsa serta Pusat Sukan UKM, telah menganjurkan Syed Nasir Sport Event (SENSE) 8.0 yang berlangsung dengan penuh semangat dan kemeriahan bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2025.
Program tahunan ini menghimpunkan seramai 463 warga kolej dalam suasana kekeluargaan dan kesukanan, bertujuan memupuk semangat perpaduan, kerjasama berpasukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa. Kejayaan menganjurkan program ini hanya seminggu selepas minggu pendaftaran pelajar baharu merupakan satu pencapaian membanggakan yang membuktikan kecekapan serta komitmen tinggi ahli organisasi dalam memastikan kelancaran setiap acara.
Bertemakan “Mitologi Yunani”, pelbagai acara menarik telah dipertandingkan sepanjang program ini, antaranya futsal kain pelikat, volleyballoon, tuju selipar, tarik tali, bola beracun dan netball kain pelikat. Kesemua aktiviti ini dijalankan dalam suasana ceria dan penuh semangat antara empat rumah sukan berteraskan mitologi Yunani iaitu Zeus, Poseidon, Hades dan Athena. Suasana turut dimeriahkan dengan sesi senamrobik pembukaan yang disertai oleh pegawai daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus mencetuskan suasana penuh semangat dan tenaga positif dalam kalangan peserta sejak awal pagi. Selain menjadi platform mengasah bakat sukan dan memperkukuh ukhuwah antara warga kolej, SENSE 8.0 juga mempererat hubungan strategik antara KTSN, KBS dan Pusat Sukan UKM, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa aktif, berdaya saing dan seimbang dari segi jasmani dan mental.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan menekankan kepentingan kesihatan baik dan kesejahteraan (SDG 3) melalui pelibatan aktif dalam aktiviti fizikal, keamanan dan perpaduan (SDG 16) melalui penglibatan pelajar pelbagai latar belakang, serta perkongsian untuk mencapai matlamat (SDG 17) melalui kolaborasi strategik antara KTSN, KBS dan Pusat Sukan UKM.