KOLEJ TUN SYED NASIR

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Ucapan Naib Canselor Sempena Kemasukan Pelajar Baharu ke UKM

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Salam Pendaulat Amanah Negara,
Saudara dan saudari Warga UKM yang amat saya hormati,
1 September 2015. Tarikh istimewa buat semua kita Warga UKM. Bagi pelajar prasiswazah baharu yang akan mendaftar untuk Sesi 2015/16, selamat datang dan setinggi tahniah buat anda. Anda adalah sekumpulan kecil yang terpilih dari puluhan ribu yang mengimpikan tempat untuk menjadi mahasiswa UKM. Anda memilih dan dipilih untuk bersama-sama saya dan keseluruhan Warga UKM untuk memikul amanah besar negara selaku Pendaulat Amanah Negara. Kita Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan untuk Malaysia dan masyarakat sejagat.
Anda adalah insan yang bertuah kerana bakal menyertai hampir 34,000 Warga UKM semasa (sekitar 24,000 pelajar, 2,000 ahli akademik dan 8,000 pentadbir serta staf pelaksana) dan seramai sekitar 170,000 alumni UKM yang kini berada diserata tempat dalam dan luar negara, mencurah bakti dan menyumbang demi kesejerahteraan dan kemakmuran Malaysia dan kehidupan sejagat.
Sebagai Pendaulat Amanah Negara, setiap insan yang bergelar Warga UKM pastinya sentiasa bermatlamatkan misi untuk mencapai kecemerlangan yang memanfaatkan kerjaya diri dan semua disekeliling anda. Ibu dan bapa, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, masyarakat, rakyat dan negara semuanya menaruh harapan keatas anda Warga UKM. Kita akan bersama mengerah tenaga mengilhamkan harapan dan mencipta masa depan agar kehidupan kini dan yang mendatang lebih makmur dan berkualiti.
1 September 2015 pastinya bertambah istimewa dengan kita selaku rakyat Malaysia baharu sahaja selesai menyambut Hari Kebangsaan 2015, genapnya tanah air tercinta merdeka selama 58 tahun. Mana mungkin sebuah Universiti Kebangsaan terpisah dengan Hari Kebangsaan. Tiga belas tahun selepas tahun kemerdekaan, 18 Mei, 1970, impian melihat sebuah Universiti Kebangsaan tertubuh terlaksana. Denyutan kemerdekaan ini sentiasa tersemat disetiap sanubari Warga UKM.
Kini 45 tahun sudah perjalanan UKM. Mana mungkin universiti ini tidak menjunjung dan memegang kuat amanah yang diberi rakyat dan negara sebagai sebuah gedung ilmu kebangsaan yang menjadi pencetus kecemerlangan buat agama, bangsa dan negara. UKM Sehati Sejiwa dengan Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia-sejarahnya tubuhnya begitu hebat.
Perjalanan kita selama 45 tahun yang lalu padat dengan pengalaman berharga dan liku-liku yang mencabar. Perjalanan seterusnya semakin getir dengan persekitaran yang semakin kompleks, `very demanding` sifatnya. Semoga perayaan kemerdekaan ini memberi nafas baru dan semangat yang lebih kuat untuk kita terus berusaha. Tiada rintangan yang yang merintang perjalanan kita. Sehati sejiwa kita bergerak kehadapan.
Seperti semua Warga UKM yang lain, saudara dan saudari mahasiswa UKM yang baharu pegang lah dua perenggan lirik Varsiti Kita yang berikut dengan kemas:
Inilah Varsiti kita
Ditengahkan hasrat rakyat kita
Dari mula untuk semua
Bagai tanda perjuangan kita
Bangun berbakti membela
Memupuk insan jiwa bertakwa
Memimpin manusia semua
Kenal akan adat unggulnya
Membina negara sentiasa
Maju berilmu dan bahagia
Disinilah tapak untuk saudara dan saudari bermula dalam melakar perjalanan seterusnya selaku Warga UKM. Kecemerlangan kita mesti diukur bukan sahaja atas kemajuan diri sendiri tetapi sejauh mana kecemerlangan ini juga dapat dikecapi oleh semua disekeliling kita.
Manfaatkan peluang yang amat istimewa ini, jadilah seorang mahasiswa yang cemerlang, berdaya saing, bertanggung jawab dan beretika. InsyaAllah, saya dan keseluruhan Warga UKM akan memberi yang terbaik buat saudara dan saudari. Bermula hari ini anda adalah Warga UKM. Kita adalah satu pasukan yang akan sama-sama merealisasikan kecemerlangan yang diimpikan dan menggalas mandat selaku Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan.
Kepada semua Warga UKM, selamat menyambut Hari Kebangsaan 2015 dan marilah kita bersama meneruskan usaha untuk menzahirkan UKM sebagai sebuah universiti yang dihormati dan disegani kecemerlangannya. Selamat memulakan Sesi Pengajian 2015/2016.
Bagi saudara dan saudari mahasiswa baharu UKM, setinggi tahniah, selamat menuntut ilmu dan berikan yang terbaik demi membina sahsiah dan minda yang hebat.
Selamat datang dan terima kasih kerana memilih Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya doakan keberkatan Allah SWT buat semua kita.
Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali 
Naib Canselor UKM