YOUTH SUMMER CAMP – KERJASAMA MyFundAction BERSAMA KTSN

Seramai 50 peserta muda dari seluruh negara telah menyertai Youth Summer Camp (YSC) 2025, anjuran MyFundAction dengan kerjasama Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersempena sambutan Hari Kemerdekaan. Program ini turut menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar asasi, matrikulasi, IPT serta golongan belia profesional, menjadikannya wadah penyatuan generasi muda.

Program yang berlangsung dari 27 hingga 31 Ogos itu berteraskan konsep pembangunan belia bertema kemerdekaan, dengan fokus kepada pemerkasaan kepimpinan, semangat kerjasama dan pembentukan jati diri generasi muda berdaya saing. Penganjuran turut mendapat sokongan Youth of Strength & Happiness (YOSH), Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BHEP, JPT) serta barisan sukarelawan MyFundAction.

Antara pengisian utama ialah forum Eagle View: Forum on Student Empowerment di Dewan Tun Syed Nasir yang menampilkan dua tokoh jemputan iaitu YBhg. Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UKM, serta Saudari Norsyafiqah Salimun dari Universiti Teknologi Petronas. Sesi ini dikendalikan oleh Nur Izzah Norannuar, pelajar UKM dan sukarelawan aktif YOSH. Forum mencetuskan wacana penting mengenai peranan belia sebagai agen perubahan serta peneraju masa depan negara.

Pada 30 Ogos, peserta turut menyantuni komuniti gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara melalui pemeriksaan kesihatan percuma dan penyerahan kit kesihatan kepada 30 penghuni. Aktiviti ini menjadi medium memupuk empati, meningkatkan kesedaran sosial dan mengukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta belia.

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/buletin/ysc-2025-himpun-belia-malaysia-ke-arah-generasi-holistik