25 Jun 2026 – Pameran Sistem CATCH di Majlis Pelancaran IICMS JKKP Malaysia

BANGI, 25 Jun 2026 – Kumpulan Penyelidikan Pengurusan Bahan Kimia (CMRG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah dijemput untuk mengadakan pameran bagi mempromosikan sistem Classification Tool for Chemical Mixture (CATCH). Pameran tersebut diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran Integrated Chemical Information Management System (IICMS). Majlis anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia ini telah berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) dan telah dirasmikan oleh YBrs. En. Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA).

Sistem IICMS merupakan platform bersepadu yang diperkenalkan oleh JKKP untuk memperkasa dan meningkatkan sistem pengurusan bahan kimia di tempat kerja secara digital di peringkat kebangsaan. Sejajar dengan objektif ini, CMRG LESTARI telah memanfaatkan ruang pameran yang disediakan untuk memperkenalkan keupayaan sistem CATCH kepada para hadirin. CATCH merupakan aplikasi berasaskan web yang dibangunkan khusus oleh penyelidik CMRG UKM. Ia direka untuk membantu pihak industri mengelaskan bahaya campuran bahan kimia yang dihasilkan secara tepat, sekali gus memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan peraturannya yang berkuat kuasa. Hasil pengkelasan yang dihasilkan oleh CATCH boleh digunakan untuk pelaporan di dalam sistem IICMS.

Pautan: https://www.ukm.my/cmrg/news/catch-system-exhibition-at-the-launch-of-dosh-malaysias-iicms/
Disediakan oleh Mohamad Mahathir Amir Sultan
25 Jun 2026