Fakulti Perubatan UKM

Prof. Dr. Abdul Halim bin Gafor

Dekan

Mempelopori Perubatan , Melahirkan Cendekiawan
Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor new crop

Kata Aluan Dekan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Selamat datang ke Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Fakulti ini telah ditubuhkan sejak tahun 1972 dan merupakan antara fakulti perubatan  tertua di Malaysia. Sejak itu, kami telah berkembang maju sehingga kini kami berada di Kampus Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur.

Fakulti ini menyediakan pelbagai program, sama ada pada peringkat sarjana muda , sarjana , doktor falsafah ataupun bidang pengkhususan klinikal . Informasi mengenai program-program tersebut terkandung dalam laman sesawang ini. Anda sentiasa boleh berhubung dengan kami untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Kami mempunyai rangkaian alumni besar yang sekarang sedang bekerja sama ada di sektor awam ataupun sektor swasta di dalam ataupun di luar negara. Selain daripada pelajar tempatan, kami juga ingin mengalu-alukan pelajar antarabangsa untuk menyertai program-program di fakulti ini.

Fakulti perubatan ini mempunyai seramai lebih kurang 400 orang tenaga pengajar yang majoriti daripada mereka berpengalaman luas dalam bidang pengajaran. Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan satu-satunya universiti awam di Malaysia yang mempunyai dua hospital pengajar. Bersama fakulti perubatan di Kampus Kuala Lumpur, Cheras adalah Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (Hospital Pakar KanakKanak UKM). Hospital-hospital ini menjadi “ Makmal Hidup” untuk pengajaran dan penyelidikan klinikal pelajar-pelajar di sini.

 Fakulti Perubatan UKM beriltizam dalam bidang penyelidikan perubatan. Kami mempunyai 9 bidang fokus penyelidikan yang diterajui oleh pakar-pakar rujukan yang tersohor. Kami mempunyai berbagai-bagai makmal penyelidikan yang sesuai untuk pengajiaan sarjana penyelidikan ataupun doktor falsafah.

Akhir kata, saya ingin mengalu-alukan semua untuk mendapatkan  maklumat lanjut mengenai fakulti ini melalui laman sesawang ini dan sila berhubung dengan kami jika terdapat apa-apa persoalan.

Sekian terima kasih.