Fakulti Perubatan UKM

Berita Alumni

Pada Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2025, Fakulti Perubatan telah menobatkan Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah sebagai penerima anugerah Alumni Tersohor Fakulti Perubatan 2025. Anugerah ini diberikan kepada seorang alumni di atas kejayaan dan pencapaiannya di dalam kerjaya. Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah adalah seorang Pakar Oftalmologi terlatih yang memperoleh Ijazah Doktor Perubatan pada 1991 dan Ijazah Sarjana Surgeri (Oftalmologi) pada 1998 dari Fakulti Perubatan UKM.
 
Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah berkhidmat sebagai Perunding Kanan Pakar Oftalmologi di Hospital Selayang dan telah menjawat jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dari 2014 hingga 2023. Beliau turut menyandang jawatan Presiden Kolej Pakar Oftalmologi Malaysia dari 2018 hingga 2023.
 
Semasa berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, beliau telah memimpin penubuhan pusat retina termaju di hospital-hospital KKM, dengan memperkenalkan teknologi terkini untuk rawatan termasuk penggunaan AI dalam rawatan penyakit mata.

Majlis Makan Malam Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Kecemasan telah diadakan pada 21 Jun 2025. Bertempat di Bangi Resort Hotel, majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar Tahun Akhir, malah turut menghimpunkan barisan pensyarah, staf pentadbiran, pelajar pelbagai tahun dan alumni dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Kehadiran alumni dari pelbagai latar belakang termasuk Penolong Pegawai Perubatan, Paramedik berpengalaman, dan penyelidik dalam bidang kesihatan kecemasan telah memberikan inspirasi serta suntikan semangat kepada pelajar-pelajar yang masih dalam pengajian. Interaksi dua hala ini membuka ruang perkongsian pengalaman, panduan kerjaya serta sokongan moral yang amat bermakna kepada graduan dan pelapis muda program.

Melalui penglibatan alumni yang proaktif ini, majlis makan malam telah menjadi lebih daripada sekadar acara penghargaan. Ia adalah satu pertemuan lintas generasi yang menyuburkan nilai kebersamaan, membina jaringan profesional dan mengekalkan identiti kukuh warga Sains Perubatan Kecemasan UKM.

Secara keseluruhannya, majlis ini telah mencapai objektif utamanya iaitu meraikan kejayaan, mempererat ukhuwah dan membina kenangan abadi. Diharapkan agar acara ini terus menjadi tradisi tahunan yang menyatukan warga program dalam semangat yang sama iaitu semangat kecemasan yang cekal, bersatu dan sentiasa bersedia.

Fakulti Perubatan UKM merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada para Alumni Perubatan UKM yang telah bermurah hati menaja sebanyak RM 90,000 bagi program Iftar Ramadhan 1446 H. Penajaan iftar sepanjang Ramadhan yang merupakan aktiviti tahunan ini memberi manfaat kepada 300 pelajar terpilih yang menetap di Kolej Tun Dr. Ismail UKM.
 
Fakulti Perubatan UKM turut mengucapkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran Kolej Tun Dr. Ismail atas kesudian bekerjasama dalam menjayakan usaha ini. Proses agihan makanan dijalankan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa/i Perubatan UKM (PERSIAP) dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Tun Dr. Ismail UKM.
 
Semoga usaha murni ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan semoga setiap sumbangan akan di balas Allah dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.

Fakulti Perubatan UKM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (FPER 1989), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di atas pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2025 dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada 7 Mac 2025 (Jumaat).

Kami berbangga dengan alumni UKM!

Fakulti Perubatan UKM mengucapkan tahniah kepada YBhg. Prof. Dr. Azizi Ayob (Alumni Fakulti Perubatan UKM Tahun 1997) atas kejayaan menjuarai Innovathon 2.0.

Fakulti Perubatan UKM mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya (Alumni Fakulti Perubatan UKM Tahun 1994 & 2001) atas pelantikan.