Keberkesanan Inovasi Kamus Poket terhadap Penguasaan Kosa Kata Bahasa Melayu dalam Kalangan Siswa Tokyo University of Foreign Studies (TUFS).
Nur Ain Syahirah binti Razmi
Kajian ini dijalankan bagi menilai keberkesanan inovasi Kamus Poket terhadap penguasaan kosa kata Bahasa Melayu dalam kalangan siswa di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Jepun. Penguasaan kosa kata merupakan komponen asas dalam pembelajaran bahasa asing kerana aspek tersebut mempengaruhi keupayaan pelajar memahami makna, membina komunikasi serta menggunakan bahasa secara bermakna dalam pelbagai konteks. Dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa asing, penguasaan kosa kata yang mantap menjadi elemen penting bagi meningkatkan kefasihan dan keberkesanan penggunaan bahasa. Sehubungan dengan itu, Program Sensei yang merupakan program kerjasama antara Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dan siswa jurusan Bahasa Melayu di TUFS telah dilaksanakan sejak tahun 2023 sebagai medium pengukuhan pembelajaran Bahasa Melayu melalui pendekatan kolaboratif dan interaktif. Melalui pelaksanaan program tersebut, inovasi Kamus Poket telah digunakan secara berterusan sebagai bahan bantu pembelajaran bagi menyokong penguasaan kosa kata siswa. Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan inovasi tersebut masih belum dinilai secara empirikal dan sistematik.
Oleh itu, kajian ini bertujuan menilai keberkesanan penggunaan Kamus Poket terhadap penguasaan kosa kata Bahasa Melayu dalam kalangan siswa TUFS. Kajian ini menggunakan pendekatan kajian gabungan konvergen dengan mengintegrasikan data kuantitatif dan kualitatif bagi memperoleh pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap fenomena yang dikaji. Sampel kajian terdiri daripada siswa jurusan Bahasa Melayu di TUFS, manakala informan kajian melibatkan pensyarah TUFS yang terlibat dalam Program Sensei. Data kuantitatif dikumpulkan melalui ujian penguasaan kosa kata dan soal selidik, manakala data kualitatif diperoleh melalui temu bual. Kedua-dua data dianalisis secara berasingan sebelum digabungkan bagi menghasilkan interpretasi yang lebih komprehensif. Kajian ini dijangka dapat menyumbang bukti empirikal terhadap keberkesanan penggunaan bahan bantu pembelajaran dalam konteks Bahasa Melayu sebagai bahasa asing serta memperkukuhkan amalan pedagogi merentas budaya dalam persekitaran pendidikan antarabangsa.