Bengkel Permohonan Hak Cipta Bahan Pengajaran SUTRA



BANGI, 6 Mac 2026 – SUTRA, FKAB telah menganjurkan Bengkel Permohonan Hak Cipta Bahan Pengajaran SUTRA bertempat di Bilik Aktiv 1, Aras 1, Bangunan Akademik FKAB. Program yang berlangsung dari jam 8.45 pagi hingga 12.30 tengah hari ini menghimpunkan penyelidik SUTRA bagi meningkatkan kefahaman mengenai proses perlindungan hak cipta bahan pengajaran secara sistematik dan berkesan.

Bengkel telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Mh Busra (Timbalan Pengarah Pusat Inovasi UKM), yang dalam ucapan pembukaan menekankan kepentingan pengurusan harta intelek sebagai aset strategik institusi. Beliau turut menegaskan bahawa pendaftaran hak cipta bukan sahaja melindungi hasil kerja pensyarah, malah menyokong agenda universiti dalam memperkukuh budaya inovasi dan penghasilan ilmu.

Sesi utama bengkel disampaikan oleh Puan Nurul Syafinaz Md Katan, Pengurus Unit Harta Intelek, INOVASI@UKM. Beliau berkongsi garis panduan permohonan, kriteria dokumentasi, serta tatacara terbaik dalam penyediaan bahan yang layak didaftarkan sebagai hak cipta. Perkongsian tersebut membantu peserta memahami aspek teknikal dan perundangan yang terlibat dalam pemfailan hak cipta.

“Penganjuran bengkel ini selari dengan usaha FKAB untuk memperkukuh pengurusan harta intelek dalam kalangan staf akademik, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekosistem inovasi yang lebih mantap di UKM.”-Prof. Madya Ir. Dr. Siti Fatin Mohd. Razali

Translate »