Cabaran 1: Tingkatkan Pengguna Tren Hujung Minggu
Potensi Lonjakan Pengguna Hujung Minggu
Corak penggunaan tren pada hujung minggu adalah berbeza dengan hari bekerja dari aspek bilangan penumpang, tujuan perjalanan, tempoh perjalanan, pilihan waktu dan hari tumpuan.
- Jumlah Penumpang yang Lebih Rendah: Bilangan penumpang tren pada hujung minggu lazimnya adalah lebih rendah berbanding hari bekerja. Hal Ini disebabkan oleh tiadanya perjalanan ulang-alik harian yang mendominasi tren pada hari bekerja. Namun begitu, terdapat perkhidmatan tren di Semenanjung Malaysia yang mencatat bilangan pengguna yang tinggi pada hujung minggu.
- Tujuan Perjalanan: Tujuan utama perjalanan pada hujung minggu adalah untuk aktiviti sosial, riadah dan rekreasi seperti membeli-belah, melawat keluarga dan rakan-rakan serta melancong.
- Perjalanan Lebih Panjang: Tempoh perjalanan lebih panjang disebabkan kedudukan destinasi riadah atau sosial yang dituju berada jauh dari lokasi kediaman dan juga kekerapan tren yang rendah.
- Waktu Puncak Berlainan: Tidak seperti hari bekerja yang mempunyai waktu puncak pagi dan petang untuk perjalanan ulang-alik, pengguna tren hujung minggu seringkali tertumpu pada sebelah petang. Maklumat ini mencerminkan waktu kegemaran orang ramai keluar untuk aktiviti santai.
- Perbezaan antara Sabtu dan Ahad: Pengguna tren hujung minggu lebih memilih Sabtu berbanding Ahad untuk melakukan perjalanan sosial. Secara keseluruhan, Ahad kekal menjadi hari yang mencatat (purata) bilangan pengguna terendah dalam seminggu.
Purata Pengguna Harian Bagi Tempoh Okt 2023 Hingga Jun 2025
Perbandingan Empat Sektor Perkhidmatan

- Berbanding perkhidmatan Komuter di Lembah Klang, purata pengguna tren harian bagi tiga sektor perkhidmatan lain iaitu ETS, Antarabandar dan Komuter Utara adalah lebih tinggi pada hujung minggu berbanding hari biasa sepanjang tempoh Oktober 2023 hingga Jun 2025. Adakah anda rasa pengguna tren hujung minggu akan terus meningkat?
- Secara purata, peratusan peningkatan pengguna tren pada hujung minggu berbanding hari biasa bagi ETS, Antarabandar dan Komuter Utara berada dalam julat 9%-55%. Julat peratusan yang besar ini memberi petunjuk bahawa terdapatnya faktor daya tarikan yang khusus bagi setiap satu sektor perkhidmatan berkenaan. Pada pendapat anda, adakah dengan mengenal pasti faktor daya tarikan tersebut penting dalam membangunkan idea “luar biasa”? Renung-renungkan…
- Secara purata, peratusan pengguna Komuter pada hujung minggu adalah kurang sekitar 26-40% daripada pengguna hari biasa. Dengan perbezaan peratusan penumpang tren yang besar, pada pendapat anda, adakah perlu perhatian diberikan untuk meningkatkan pengguna Komuter pada hujung minggu?
STRATEGI SEMASA
Sebahagian strategi berkesan untuk meningkatkan bilangan penumpang tren pada hujung minggu.
-
Tambah Kekerapan dan Bilangan Tren
Menambah bilangan tren dan meningkatkan kekerapan tren ketika musim perayaan, hujung minggu panjang dan musim cuti sekolah.
-
Charter Train
Menyediakan sewaan koc khas untuk pelbagai bentuk aktiviti dan acara kepada kumpulan, organisasi, syarikat termasuklah orang perseorangan.
-
Kerjasama Pelancongan
Menawarkan pakej pelancongan menarik di destinasi tumpuan seperti Ipoh, Butterworth dan Alor Setar melalui kerjasama strategik dengan agensi pelancongan tempatan.
Ada Idea “Luar Biasa”? Kongsikan Dengan Kami
Jadilah pencetus perubahan – satu IDEA ANDA boleh membawa seribu penyelesaian.
Peserta diminta mencadangkan idea luar biasa untuk menarik lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan tren pada hujung minggu. IDEA ANDA boleh berfokus kepada:
- Pengalaman Menarik: ETS, Antarabandar dan Komuter Utara telah berjaya menarik pengguna pada hujung minggu. Fokus kepada usaha-usaha untuk memberi nilai tambah (added value) kepada operasi perkhidmatan semasa supaya dapat mencipta pengalaman perjalanan yang lebih menarik.
- Tarikan Baharu: Mencipta sensasi perjalanan yang baharu dan unik untuk menarik minat orang ramai menggunakan Komuter pada hujung minggu.
- Pelancongan: Mempergiat usaha promosi serta mempelbagai pakej-pakej pelancongan yang melibatkan perkhidmatan tren seiring dengan trend dan perkembangan semasa serta kecenderungan segmen pengguna yang pelbagai.
Cabaran 2: Kecurian Kabel
Kecurian Kabel: Ancaman Memuncak Terhadap Infrastruktur Rel Negara
Kecurian kabel merupakan salah satu cabaran utama dalam operasi sistem tren, terutamanya bagi perkhidmatan rel di Malaysia. Insiden ini bukan sahaja menyebabkan gangguan perkhidmatan dan kerugian kewangan, malah turut menjejaskan keselamatan serta kepercayaan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam.
Cabaran Semasa
- Gangguan Perkhidmatan: Kecurian kabel boleh menyebabkan kelewatan atau pembatalan tren, menjejaskan ribuan penumpang.
- Kos Tinggi: Kos penggantian kabel dan pembaikan sistem boleh mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
- Risiko Keselamatan: Kabel yang dicuri atau rosak boleh menyebabkan risiko kebakaran, kejutan elektrik, atau kerosakan sistem kawalan tren.
Sistem Rel Terus Menjadi Sasaran Sindiket Curi Kabel
Kelewatan tren yang signifikan antara 80 hingga 115 minit bagi perkhidmatan ETS. Perkhidmatan Komuter Utara di laluan Ipoh-Butterworth turut terjejas dengan kelewatan purata 30 minit.
Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan teruk. Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan alternatif. Perkhidmatan bas pengantara terpaksa disediakan.
Dilaporkan lebih 1,200 meter kabel isyarat dan 81 unit transformer telah dicuri. Kecurian ini mengancam jadual ujian dan siap projek ECRL.
STRATEGI SEMASA
Strategi Pencegahan Yang Bakal Dilaksanakan Oleh Pihak Berautoriti.
-
Rondaan Bersepadu
Meningkatkan kekerapan rondaan secara bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan di kawasan-kawasan hotspot yang telah dikenal pasti. -
Naik Taraf Rekaan
Menggantikan penutup lubang (manhole) atau bekas kabel (cable trough) dengan penutup yang mempunyai reka bentuk kunci keselamatan khas yang lebih sukar untuk dibuka. -
Penggunaan Teknologi
Memanfaatkan teknologi moden seperti CCTV dan Dron untuk memantau kabel termasuk aset lain di sepanjang jajaran landasan yang panjang dan terpencil.
Ada Idea “Luar Biasa”? Kongsikan Dengan Kami
Kini, tiba masanya untuk kita bangkit bersama! Kami menyeru semua minda kreatif dan inovatif untuk menyertai pertandingan mencari idea luar biasa bagi menangani masalah kritikal ini. Marilah bersama-sama kita mencari penyelesaian yang berani dan lestari untuk melindungi sistem rel kita demi masa depan yang lebih selamat dan bebas gangguan!.
Peserta diminta mencadangkan idea luar biasa untuk mencegah atau mengurangkan kejadian kecurian kabel. IDEA ANDA boleh berfokus kepada:
- Pengesanan: Mengesan dan memintas dengan pantas usaha/rancangan mencuri kabel termasuk pemantauan landasan di lokasi-lokasi terpencil.
- Perlindungan: Mencegah kecurian dengan strategi/kaedah/inovasi perlindungan kabel secara fizikal dan bantuan teknologi.
- Pengurangan Impak: Meminimumkan kerugian dari aspek kewangan dan masa operasi sekiranya berlakunya kecurian.