E-Mirath » Kaedah Pembahagian Harta Pusaka Kecil

Kaedah Pembahagian Harta Pusaka Kecil

  1. Pembahagian pusaka bagi si mati yang beragama Islam adalah mengikut Hukum Syarak/Faraid.
  2. Pembahagian pusaka bagi si mati bukan Islam adalah mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300).
  3. Pembahagian secara muafakat atau persetujuan bersama hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju. Ia boleh digunakan bagi si mati yang beragama Islam atau bukan Islam.
  4. Pembahagian bagi pegangan tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tidak boleh dibuat lebih daripada 2 orang. Sekiranya terdapat lebih daripada 2 orang yang berhak dan mereka tidak bersetuju secara muafakat memberi kepada 2 orang sahaja daripada mereka, maka Pentadbir Tanah boleh melantik Pentadbir kepada harta pusaka tersebut atau perintah jualan secara tender pegangan itu dalam kalangan waris di mana hasil jualan akan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing.
  5. Jika si mati meninggalkan tanah adat di daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Tampin atau Jempol, maka pembahagian tanah pusaka adat tersebut adalah mengikut Enakmen Pemegangan Tanah Adat (Bab 215) atau Enakmen Pemegangan Tanah Adat (Tanah Lengkongan) 1960.

Di mana mengikut Enakmen ini waris-waris yang berhak adalah keturunan perempuan yang sama sukunya dengan pemilik tanah adat itu, yang secara khusus mengikut giliran:

  • Anak perempuan dan cucu-cucu perempuan daripada anak perempuan, walaupun mereka meninggal dunia lebih awal daripada si mati.
  • Ibu si mati.
  • Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada si mati dan keturunannya dari pihak perempuan.
  • Ibu kepada ibu (wan si mati).
  • Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada wan (ibu kepada si mati) dan keturunannya dari pihak perempuan.