Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM

 Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Sejarah Pusat GENIUS@Pintar Negara

Bermula dengan pengujian IQ ke atas Adi Putra oleh pakar dari UKM, universiti ini seterusnya telah dipilih untuk menjadi pelaksanaan kepada program PERMATApintar Negara.  Pusat PERMATApintar® Negara ini dinaungi oleh isteri Perdana Menteri YBhg. Dato’ Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak iaitu Datin Seri Paduka Rosmah Mansor. Program PERMATApintar ini diletakkan di bawah bahagian PERMATA di Jabatan Perdana Menteri.

Kerja-kerja asas mengumpul maklumat dan meninjau program pelajar pintar dan berbakat luar negara telah dilakukan sendiri oleh Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan dibantu oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Habsah Syed Shahabuddin (yang merupakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada masa itu. YBhg. Datin Seri Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Habsah Syed Shahabuddin serta beberapa pakar dan pegawai UKM merupakan individu-individu yang berkobar-kobar memperjuangkan pendidikan bagi pelajar pintar cerdas di Malaysia pada masa kini.

YAB isteri Perdana Menteri dan YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Habsah Syed Shahabuddin telah melawat beberapa tempat untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut tentang bagaimana pendidikan pelajar pintar dan berbakat dijalankan di luar negara. Antaranya ialah Universiti Mahidol di Thailand, High School for Math and Science di National Universiti Singapore, Beijing Number 8 High School Beijing, Centre for Talented Youth, John Hopkins University, Lita Hollingworth Gifted Center (Universiti Columbia), New York dan beberapa institusi pintar dan berbakat lain.  Setiap lawatan yang dilakukan memberikan gambaran bahawa pelajar pintar cerdas mempunyai keperluan pembelajaran yang unik dan perlu dipenuhi, bagi memastikan  mereka benar-benar membina potensi diri ke tahap yang maksima. Melalui lawatan tersebut, setiap pihak yang terlibat dalam projek PERMATApintar telah mendapat gambaran bagaimana program pendidikan pelajar pintar cerdas boleh dijalankan di Malaysia dengan jayanya.

Kesinambungan daripada lawatan tersebut, satu kertas kerja mengenai penubuhan Pusat PERMATApintar® Negara telah ditulis dan dibentangkan oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Habsah Syed Shahabuddin  kepada YAB Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak (yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu). Kelulusan untuk menjalankan satu projek bagi menampung keperluan pembelajaran pelajar pintar cerdas telah diperolehi pada 25 November 2008. Satu jawatan kuasa pemandu seterusnya yang ditubuhkan yang dianggotai oleh:

  • YAB Datin Seri Paduka Dr. Rosmah Mansor (Penaung)
  • Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabuddin, Naib Canselor, UKM
  • Dekan Fakulti Pendidikan, UKM
  • Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, UKM.
  • Timbalan Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, UKM.
  • Presiden Persatuan Kanak-Kanak Bergeliga Malaysia (NACGM)
  • Wakil KPM
  • Wakil KPT

Universiti Kebangsaan Malaysia telah diumumkan sebagai pelaksana program dan sejumlah dana telah diberikan oleh Bahagian PERMATA di Jabatan Perdana Menteri untuk memulakan projek tersebut di tiga bahagian iaitu a) Bahagian Pengurusan Bakat b) Bahagian Perkhemahan Cuti Sekolah, dan c) Bahagian Sekolah PERMATApintar, UKM. Dan d) Program ASASIpintar.

Majlis pelancaran untuk mengumumkan program pelajar pintar cerdas di Malaysia dilakukan pada 2 Mac 2009. Pelancaran tersebut dilakukan oleh YAB Datin Seri Paduka Rosmah mansor, di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada masa yang sama, majlis menandatangi surat Tunjuk Hasrat untuk bekerjasama telah dilakukan oleh Dr. Julian Jones, Pengarah Hal-Ehwal Antarabangsa John-Hopkins University-Center for Talented Youth dan YB Prof. Tan Sri Dato’ Sharifah Hapsah Syed Shahabudin, Naib Canselor UKM. Ini adalah titik permulaan program pengayaan yang dibina khusus untuk pelajar pintar cerdas di Malaysia yang dikenali sebagai Program Perkhemahan Cuti Sekolah PPCS.

Pada masa yang sama, pelancaran ujian PERMATApintar UKM1 secara dalam talian juga telah dilakukan. Dua ratus lima orang pelajar dari sekolah harian dan sekolah berasrama penuh telah dijemput ke UKM untuk mencuba ujian tersebut. Pelancaran tersebut merupakan permulaan kepada ‘perang ujian IQ’ yang telah berlangsung selama empat bulan, dari bulan Mac sehingga Jun 2009. Seramai 212,486 orang pelajar telah mencuba ujian PERMATApintar UKM1 dan seramai 4682 orang pelajar telah berjaya menempatkan diri untuk mengambil ujian PERMATApintar UKM2 yang dijalankan pada Ogos 2009.

Pada masa yang sama, satu perjanjian telah dimaterai antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan John Hopkins University – Center for Talented Youth, Baltimore, Amerika Syarikat pada 15 April 2009 di Shangri-la Hotel, Kuala Lumpur bagi membantu memulakan program pengayaan bagi pelajar-pelajar pintar cerdas di Malaysia. Prof. Datin Siti Rahayah Ariffin, Dekan Fakulti Pendidikan, UKM telah mewakili UKM, Dr Lea Ybrra, Pengarah Center for Talented Youth, telah mewakili John Hopkins University dalam perjanjian tersebut.

Pusat PERMATApintar® Negara kini tertubuhnya dengan beberapa unit di yang mana salah satunya iaitu Kolej PERMATApintar iaitu projek sekolah PERMATApintar untuk pelajar berusia 13 hingga 17 tahun. Menurutnya lagi, projek Sekolah PERMATApintar UKM telah bermula pada Januari 2011.  Sekolah ini dianggap sebagai satu makmal pengajaran dan pembelajaran pelajar pintar dan berbakat di mana kaedah pengajarannya lebih tertumpu kepada pembelajaran berbentuk ‘differentiated learning’. Pelajar-pelajar belajar mengikut kemampuan diri sendiri dengan dibantu oleh guru pakar yang memang mahir dalam setiap bidang yang diajar. Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd Ishak merupakan individu merangkap Pengarah dari tahun 2011 hingga 2019. Kini jawatan Pengarah digantikan oleh Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof mulai 2020.

 

Sumber: PERMATApintar Negara: Pengalaman UKM (2009)