Sila hubungi: +603 89214641

Kesepaduan sosial prasyarat masyarakat moderat

 

Sinar Harian 17 Januari 2012

 

SEMENJAK terjadinya rusuhan etnik 13 Mei 1969, Malaysia telah menjadikan ‘perpaduan nasional’ sebagai matlamat akhir utama untuk dicapai, khususnya, melalui Dasar Ekonomi  Baru (DEB) yang dilancar pada tahun 1971. Apabila DEB tamat pada 1990 perpaduan yang diidamkan itu masih belum tercapai.

Pada 1991 rakyat Malaysia diperkenalkan pula oleh Tun Mahathir Mohamed, Perdana Menteri ketika itu dengan Wawasan 2020 beliau yang berteraskan konsep Bangsa Malaysia, suatu bentuk perpaduan yang dijangkakan akan dicapai pada 2020.

Sehingga 2009, tiada sebarang tanda-tanda jelas di mana perpaduan yang diharapkan itu akan dicapai. Maka diperkenalkan pula konsep 1Malaysia oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merangsang masyarakat Malaysia ke arah perpaduan.

Sebenarnya dalam tempoh 42 tahun  (1969-2011) lalu, biar pun perpaduan yang kita impikan sangat-sangat itu belum tercapai, namun kita telah mencapai sesuatu yang signifikan yang menjadikan Malaysia negara contoh kepada banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Malah laporan yang dihasilkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang berpangkalan di Sydney dan yang bertanggungjawab menghasilkan Global Peace Index 2011 menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-19 daripada 153 negara sedunia yang berjaya mengekal suasana aman dan kestabilan politik. Malah Malaysia didapati jauh lebih baik daripada jiran-jiran di rantau Asia Tenggara, termasuk Singapura.

Apa yang sebenarnya telah dicapai oleh Malaysia dalam tempoh 42 tahun itu ialah suatu ‘kesepaduan sosial’ yang merupakan pra-syarat kepada perpaduan yang kita inginkan. ‘Kesepaduan sosial’ inilah sebenarnya yang menjadi tiang seri kepada konsep ‘equilibirium’ yang disebut oleh Najib, sebagai anak kunci masyarakat moderat Malaysia yang diperagakan beliau apabila menganjurkan gagasan Global Movement of the Moderates (GMM, atau Gerakan Global Kesederhanaan).

Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, semenjak ditubuhkan pada Oktober 2007, telah membina suatu korpus ilmu dan maklumat mengenai Kesepaduan Sosial (KS), sebagai suatu model sosial, yang boleh menjadi suatu pakej pelengkap kepada gagasan GMM, anjuran Najib, dan boleh mengisinya secara konkrit.

Pakej yang dimaksudkan ini mengandungi LIMA komponen penting dalam kerangka konsep KS yang bersifat umum iaitu konsep, kerangka analisis bersifat struktural-sejarah, penginstitusian dan bentuk institusi-institusi ‘perkongsian kuasa’ teras KS, dasar awam, pelaksanaan dan sistem penilaian mendalam dan alat-alat untuk memantau KS secara berterusan (R&D Sosial; Sistem Amaran Awal dan Indeks Ikatan Sosial).

Pakej Kesepaduan Sosial (Padu) ini boleh dimanfaat sebagai alat untuk memulakan perundingan dan tolak ansur di meja bulat perundingan diantara pihak yang berbalah tanpa mana-mana pihak mengalami untung rugi.

Dalam usaha Kita untuk memasyarakatkan ilmu, korpus ilmu yang dibina berteraskan KS ini telah dibentangkan di beberapa persidangan dalam dan luar negara, dan dibincangkan dalam rancangan bual bicara TV dan radio. Ada beberapa pihak yang telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Kita untuk membawa pakej ini untuk diaplikasikan di luar negara, khususnya di Timur Tengah, yang kini berdepan dengan suatu krisis sosial amat gawat, justru itu memerlukan suatu penyelesaian aman.

Salah sebuah syarikat yang mempunyai syarikat bersekutu antarabangsa, iaitu Digital Daya yang berpengkalan di Washington D.C, Dubai dan Kuala Lumpur iaitu E-MAM Kapitan Sdn Bhd telah menyatakan hasrat mereka untuk menggunakan pakej ini sebagai input penting dalam pembinaan ‘Taman Intelektual’ yang mereka sedang usahakan bersama  Muzium Negeri Pahang di Pekan.

Melalui kerjasama penting ini, sebuah pusat global mengenai KS yang telah dicadangkan namanya sebagai ‘Global Social Cohesion Center Malaysia, Pekan’ (GSCCMP) akan dibina dalam ‘Taman Intelektual’ ini.  Melalui pusat ini nanti kerja-kerja mendalami hasil kajian rintis pakej KS ini dapat diperkemaskan sebelum dieksport keluar negara.

Sebenarnya inilah julung kalinya sebuah institusi penyelidikan bersifat sains sosial di Malaysia berjaya menampilkan sebuah ‘model sosial’ iaitu PADU untuk diguna pakai oleh sesiapa saja yang berminat membina keamaanan dan kestabilan secara berterusan dalam sesebuah komuniti atau masyarakat.

Dalam konteks domestik, PADU juga adalah suatu pakej yang mempunyai nilai tambah tinggi kepada mereka dalam sektor swasta, khususnya, terhadap mana-mana projek korporat yang melibatkan masyarakat, seperti projek pembangunan perumahan, hartanah, CSR, dan projek filontrofi. Ia boleh menjadi daya tarikan kepada pelanggan dan mempunyai potensi untuk meningkatkan keuntungan.

Dalam sektor awam pula, kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, malah GLC juga, boleh memanfaatkan PADU ini kearah menguntungkan masyarakat secara jangka panjang dan juga untuk meningkatkan keuntungan kepada GLC.

Sumbangan UKM, melalui KITA dengan bantuan E-MAM ini diharapkan dapat membantu usaha murni Perdana Menteri dalam mengetengahkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah beliau melalui gerakan global  moderat yang akan dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini. Ini sebenarnya adalah hadiah Malaysia kepada dunia dan diharapkan kerjasama dengan E-MAM sebagai sebuah syarikat swasta yang prihatin dengan pembangunan masyarakat dan pembinaan negara-bangsa akan mencapai kejayaan yang diharapkan.

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

 

Leave a Reply