IREx2023 Merakyatkan Budaya Penyelidikan Generasi Muda

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 6 Jun 2023 – Pameran Inovasi Penyelidikan (IREx2023) yang julung kalinya diadakan di Kolej Keris Mas baru-baru ini adalah bertujuan untuk merakyatkan budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar dan generasi muda.

Program tersebut memfokuskan kepada penglibatan pelajar sekolah menengah, kolej dan prasiswazah mencungkil bakat dan meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi dalam memacu negara ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata penganjuran pameran inovasi itu adalah selaras dengan aspirasi negara seperti yang digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) bermatlamat memupuk masyarakat yang mampan, inklusif dan saintifik ke arah negara berteknologi tinggi.

“Justeru, penganjuran IREx diharap dapat mengumpul idea, inovasi dan teknologi lestari selaras dengan tema program pada tahun ini iaitu “Inovasi untuk Kelestarian Masa Depan”,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis perasmian penutup IREx 2023.

Katanya, beliau berharap pameran itu dapat dijadikan sebagai salah satu medan perintis dalam usaha untuk menanam dan mengukuh minat generasi masa kini terhadap bidang sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi (STIE).

“Hal ini amat penting kerana kita memerlukan pelapis untuk memastikan aspirasi negara ke arah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing dapat dicapai,” ujarnya.

IREx 2023 bukan sahaja memberi inspirasi kepada para peserta, tetapi juga menekankan peranan kritikal yang dimainkan oleh penyelidikan dan inovasi dalam membentuk masa depan yang mampan.

Pameran yang dianjurkan oleh Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) telah menghimpunkan sebanyak 59 pasukan yang terdiri daripada 37 pasukan sekolah menengah, lima kolej dan 17 universiti bagi mempamerkan projek penyelidikan yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar. Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah UKM, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Pusat GENIUS@Pintar Negara, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Kolej Tunku Kursiah, Kolej GENIUS@Pintar Negara, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam, SMK Jalan Empat, Sekolah Dato Abdul Razak, Sekolah Indonesia Kuala Lumpur dan. Fatih Bilingual School.

Leave a Reply