Kerjasama UKM, YOBM Bakal Terbitkan Kamus Braille

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 16 Ogos 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pendidikan bakal menghasilkan Kamus Braille English-Bahasa Melayu dengan kerjasama Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) bagi kemudahan pendidikan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Penghasilan kamus tersebut merupakan antara beberapa inisiatif lain yang dilaksanakan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan YOBM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kamus tersebut bakal dibangunkan dengan kepakaran penyelidik dari Fakulti Pendidikan UKM untuk manfaat OKU penglihatan.

“Kita perlukan pedagogi serta analisis yang sesuai untuk membina kamus ini melalui fasa-fasa tertentu yang mengambil kira reka bentuk dan nilainya.

“Khidmat pendidikan seharusnya diberikan kepada semua manusia tanpa mengira kekurangan mereka.

“Dengan adanya kerjasama kita pada hari ini, kita dapat membantu golongan orang buta untuk mendapat pendidikan yang berkualiti dan hak bermasyarakat yang saksama buat semua,” katanya.

Sementara itu, Penasihat YOBM Prof Datuk Dr Yasmin Hussain berkata, kamus braille ini bertujuan untuk memudahkan dan meningkatkan minat golongan OKU penglihatan untuk mempelajari Bahasa Inggeris dengan menggunakan ejaan dengan betul dan membangunkan struktur ayat yang tepat.

Walaupun terdapat aplikasi penterjemah bahasa secara digital, Yasmin menegaskan bahawa deria OKU penglihatan tidak hanya terbatas pada pendengaran, tetapi juga melibatkan deria sentuhan.

“Jika kita hanya mengharapkan aplikasi digital sahaja, mereka mungkin ketinggalan dari aspek ejaan, tatabahasa, dan struktur ayat yang betul.

“Oleh itu, kita perlu mendorong golongan OKU penglihatan untuk menggunakan deria tekstil atau sentuhan mereka dalam konteks pendidikan,” katanya. Tambahnya, kerjasama ini bakal memberikan lebih banyak peluang kepada OKU penglihatan untuk mengakses pendidikan tinggi berkualiti, menjalani penyelidikan yang relevan dan inovatif, serta meneroka potensi mereka dalam pelbagai bidang.

Leave a Reply