Kuasai Teknologi Digital, Perkukuh Kepimpinan Diri

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman


BANGI, 5 Julai 2023 – Belia digesa untuk menguasai teknologi digital sebagai aspek penting
dalam kepimpinan masa kini, selari dengan perkembangan dunia yang semakin canggih,
kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 90 peratus belia menggunakan
telefon pintar dengan kemudahan akses internet dan ini adalah potensi besar yang perlu
dimanfaatkan dengan bijak.


“Belia perlu memanfaatkan teknologi ini untuk memperkukuhkan kemahiran kepimpinan
mereka dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.
“Dengan menguasai teknologi, belia dapat menyebarkan maklumat dan idea dengan lebih
cepat dan meluas, berkomunikasi secara efektif, dan menggerakkan perubahan positif
melalui platform digital.


“Dunia teknologi tiada batasannya, teknologi artificial intelligence seperti midjourney,
chatgpt, Jenny, Canva, Big Data Analytic dan pelbagai lagi dapat diterokai oleh para belia
kita bagi menguasai teknologi sebagai aspek penting dalam kepimpinan komuniti masa kini,”
tambahnya ketika berucap di Majlis Malam Gala Kolej Keris Mas.


Beliau turut memetik data terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih daripada 8 juta
(28 peratus) daripada jumlah penduduk Malaysia berada dalam lingkungan 15 hingga 29
tahun.


Jelasnya, hampir satu pertiga daripada penduduk Malaysia adalah belia yang mempunyai
potensi untuk membawa perubahan positif.


“Gunakan masa di universiti ini untuk memperkayakan pengetahuan, mengasah kemahiran
kepimpinan, dan menguasai teknologi,” katanya.


Malam Gala kolej diadakan bagi meraikan kejayaan dan pencapaian mahasiswa di kolej
kediaman merangkumi pelbagai aspek termasuk sukan, kebudayaan dan kesukarelawanan.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd
Suzeren Md. Jamil dan Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla.

Leave a Reply