UKM, USANITA jalin kerjasama perkasa ekonomi usahawan wanita dan pelajar

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Mac 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama dengan Usanita Sdn Bhd (Usanita) bagi memperkasakan ekonomi dalam kalangan usahawan wanita dan pelajar.

Bagi merealisasikan matlamat ini, EWA Malaysia dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi aktiviti-aktiviti dan program yang bakal dijalankan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Profesor Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berharap usahasama ini akan membangunkan kemahiran pelajar ke arah yang lebih berkualiti tinggi dan mempunyai minda keusahawanan kelas pertama.

“Majlis menandatangani MoU pada hari ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan lagi ikatan kerjasama bagi membangunkan serta memperkasakan modal insan usahawan khususnya dalam kalangan pelajar UKM melalui penyediaan latihan dan seminar keusahawanan bersama pemain industri oleh pihak Usanita.

“Usahawan-usahawan di bawah bimbingan Usanita akan dijemput sebagai mentor khususnya kepada para pelajar yang mengikuti program keusahawanan bagi membangunkan perniagaan mereka.

“Selain itu, kerjasama ini juga adalah bertujuan untuk membangunkan modul bagi kursus microcredential atau pembelajaran dalam bidang keusahawanan kepada usahawan-usahawan bimbingan Usanita sebagai satu bentuk nilai tambah kepada mereka.

“Melalui kerjasama ini juga satu karnival keusahawanan akan dianjurkan bersama sebagai acara tahunan di UKM yang bakal membuka ruang kepada para pelajar, alumni dan usahawan- usahawan bimbingan Usanita untuk memperkenalkan dan memperkembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Prof. Dr. Aini Aman berkata, usahasama ini akan dimulakan dengan FEP dan dikembangkan mengikut peringkat.

“Untuk permulaan, program ini akan dimulakan dengan pelajar FEP, namun turut membuka peluang kepada pelajar di fakulti lain.

“Ia bukan sekadar belajar berniaga namun belajar dengan pakar dan bagaimana menjenama produk kerana selama ini kami mendidik pelajar menjadi usahawan. Kami berharap produk yang diusahakan pelajar UKM dapat dipromosikan dengan lebih baik selepas ini,” katanya.

Leave a Reply