Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan
6 Ogos 2026 – Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Ekspedisi Makmal Penyelidikan Biokimia 2026 bertempat di Blok Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM Kampus Kuala Lumpur. Program khidmat masyarakat ini menyaksikan kehadiran seramai 45 orang cilik berusia antara 4 hingga 6 tahun bersama 7 orang guru pengiring dari Tadika APC Pintar, Mahkota Hills, Mantin, Negeri Sembilan.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap dunia sains perubatan dan penyelidikan menerusi pendekatan pembelajaran berkonsepkan “belajar sambil bermain”.
Majlis dimulakan di Dewan Kuliah 2 dengan aluan pembuka daripada Ketua Jabatan Biokimia, Prof. Dr. Suzana Makpol, serta ucapan penghargaan daripada Pengusaha Tadika APC Pintar, Puan Noramezah Amran.
Program ini disempurnakan pelancarannya oleh Penolong Dekan (Keusahawanan) Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Azlan Helmy Abd Samat. Semasa majlis ini juga, Sijil Lantikan Pakar Rujuk STEM Tadika APC Pintar telah diserahkan secara rasmi kepada pihak tadika sebagai simbolik pengukuhan jaringan kerjasama pendidikan STEM di peringkat akar umbi.
Sebelum memasuki makmal penyelidikan, para peserta dihiburkan dan disuntik semangat menerusi sesi perkongsian Scientist Talk Show yang disampaikan oleh Dr. Norwahidah Abdul Karim (Pengerusi Program) bagi memperkenalkan kerjaya serta peranan seorang ahli sains.
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan untuk mengelilingi 4 stesen aktiviti interaktif di Makmal Pelbagai Guna (MPG) Aras 8:
Stesen 1: Color Wheel – Eksperimen visual warna dan tindak balas kimia asas.
Stesen 2: Blowing Up Balloons – Pembelajaran menarik mengenai gas dan tindak balas asid-bes.
Stesen 3: Aseptic Technique – Pendedahan awal kepada kebersihan makmal dan kawalan mikroorganisma.
Stesen 4: Balance Master – Aktiviti kemahiran motor, kawalan imbangan, dan konsep fizik ringkas.
Selain aktiviti hands-on di makmal, murid-murid turut dibawa melawat ke Galeri Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan di Aras 6 untuk melihat pameran spesimen dan mikroorganisma secara dekat.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merasai sendiri pengalaman berada di makmal penyelidikan sebenar, malah menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan generasi celik STEM sejak dari bangku prasekolah.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penyertaan, cenderahati, serta sesi fotografi kenangan. Pihak Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan UKM berharap inisiatif khidmat masyarakat seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi menyemai rasa ingin tahu dan cinta akan ilmu sains dalam diri anak-anak muda.