Skip to main content

Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan

JABATAN BIOKIMIA

FAKULTI PERUBATAN, UKM

Program Pendedahan STEM: Biokimia dan Perubatan 2026 (Kelab STEM SMISTA)

26 Ogos 2026 – Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Pendedahan STEM: Biokimia dan Perubatan 2026 yang berlangsung di Blok Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM. Program ini menyaksikan penglibatan seramai 32 orang pelajar Kelab STEM dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 serta 4 orang guru pengiring daripada Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA).

Inisiatif anjuran Jabatan Biokimia ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan pengalaman amali (hands-on) dalam bidang sains asas perubatan, di samping memupuk minat generasi muda terhadap penyelidikan biokimia serta kerjaya dalam sektor kesihatan.

Program dimulakan pada jam 2.00 petang dengan ketibaan para peserta di Jejantas Tingkat 2, Blok Praklinikal. Majlis dibuka secara rasmi dengan ucapan aluan oleh Ketua Jabatan Biokimia, Prof. Dr. Suzana Makpol.

Para peserta seterusnya menghadiri sesi ceramah khas bertajuk “Masa Depan Bidang Perubatan: Peluang dan Laluan Kerjaya” yang disampaikan oleh Pensyarah Jabatan Biokimia, Dr. Nuraqila Mohd Murshid di Dewan Kuliah 2. Sesi ini memberi pendedahan mengenai kepentingan bidang biokimia dalam evolusi sains perubatan moden serta prospek kerjaya saintifik.

Selepas taklimat ringkas mengenai keselamatan dan tatacara program oleh En. Wan Junizam Wan Yusof, Juruteknologi Makmal Perubatan Kanan, para pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk menjalankan aktiviti amali penyelidikan di Makmal Tingkat 11.

Menerusi aktiviti ini, para peserta berpeluang menjalani latihan di tiga stesen makmal interaktif:

  • Stesen 1 (Cracking the Genetic Code: DNA Extraction): Pendedahan kepada teknik pengekstrakan DNA daripada sampel biologikal.

  • Stesen 2 (DNA Under Attack: Exploring DNA Damage in Cells): Pemahaman mengenai proses dan kesan kerosakan DNA pada peringkat selular.

  • Stesen 3 (Mission: Keep the Cells Alive!): Pelatihan asas kaedah pemeliharaan dan penjagaan kultur sel dalam persekitaran makmal.

Bagi melengkapkan pengisian program, para pelajar turut dibawa melawat Muzium Anatomi di Tingkat 3 bagi melihat pelbagai spesimen struktur fizikal tubuh manusia secara lebih dekat.

Program melabuhkan tirainya pada jam 3.45 petang di Lobi Blok Praklinikal menerusi sesi penyerahan sijil penyertaan kepada wakil pelajar, pengagihan pek makanan, serta sesi fotografi bersama barangan dan penganjur sebelum bersurai pada jam 4.00 petang.

Pihak Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMISTA atas pembabitan aktif para pelajar dan guru. Diharapkan pendedahan ini dapat menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus meneroka disiplin sains, biokimia, dan perubatan pada masa hadapan.