MAJLIS HARMONI RAYA BERSAMA ALAF-UKM: MENYANTUNI KOMUNITI, MENGUKUH SILATURAHIM
Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM) telah menganjurkan Majlis Harmoni Raya Bersama ALAF-UKM bertempat di Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR), Tanjung Resang, Mersing pada 10 April 2025. Majlis ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H dan bertujuan meraikan kemeriahan Syawal bersama warga kerja, rakan strategik serta komuniti setempat dalam suasana penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang tetamu ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, yang turut menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM.
Sebagai manifestasi tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat, UKM melalui ALAF-UKM turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 10 buah keluarga dari komuniti Tanjung Resang serta sumbangan khas kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah ALAF-UKM, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, Puan Hir Yanti Md Tahir, Timbalan Pengarah Instrumentasi dan Perkhidmatan Makmal ALAF-UKM, Prof. Dr. Zaidi Che Cob, Timbalan Pengarah Pembangunan dan Strategi ALAF-UKM, Puan Nur Faearahani Apendi, Wakil Rasmi Pegawai Daerah Mersing, Dr. Nur Shuhadah Mohd, Ketua Jabatan Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM, Encik Mohd Alzam Mohd Affandy, Wakil Pertubuhan NGO Tengah Island Conservation (TIC), Encik Masanizam Edris, Wakil Pertubuhan Anak-Anak Yatim Islam Mersing serta Encik Azhar Dato’ Zainal Abidin, YDP Majlis Gabungan Belia Mersing.