Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan
Kursus Intensif Fisiologi 2026 anjuran Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah berlangsung dengan jayanya secara dalam talian pada 22–24 September 2026.
Program tahunan ini bertujuan memperkukuh kefahaman para peserta dalam bidang fisiologi serta membantu mereka membuat persediaan rapi menghadapi peperiksaan yang akan datang.
Seramai 103 orang peserta, yang majoritinya terdiri daripada pelajar program Doktor Pakar Surgeri, Otorinolaringologi, serta Perubatan Kecemasan, telah mengambil bahagian dalam kursus ini. Program ini turut menampilkan tenaga pengajar berpengalaman dan aktiviti pembelajaran interaktif bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penceramah, fasilitator, urusetia, dan peserta atas komitmen, kerjasama serta dedikasi yang telah menjayakan program ini.
Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi manfaat serta menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan profesional para peserta.
Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Saintifik pada 27 Ogos 2026 bertempat di Sinaps, Jabatan Fisiologi, Bangunan Pra-Klinikal.
Bengkel ini dianjurkan sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh kemahiran penulisan akademik dalam kalangan warga akademik dan pelajar Jabatan Fisiologi, khususnya dalam menghasilkan manuskrip berkualiti tinggi yang berpotensi untuk diterbitkan dalam jurnal berindeks dan berimpak tinggi.
Secara keseluruhannya, bengkel ini menyokong usaha Jabatan Fisiologi dan Fakulti Perubatan, UKM dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan penerbitan ilmiah, di samping menyumbang kepada peningkatan kualiti dan kuantiti penerbitan universiti. Inisiatif ini juga diharapkan dapat meningkatkan keterlihatan dan reputasi penyelidikan UKM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penganjuran oleh Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Sekretariat Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), program ini telah menghimpunkan seramai 42 orang pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari SMK Seri Permaisuri, Kuala Lumpur, bersama guru pengiring, bertempat di Bangunan Pra-Klinikal, Kampus Kuala Lumpur, UKM.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Norazlina Mohamed, Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Perubatan, UKM. Pada tahun ini, para peserta didedahkan kepada fungsi otak remaja serta kaitannya dengan gaya hidup, emosi dan kesihatan mental melalui pelbagai aktiviti STEM yang interaktif.
Melalui integrasi ilmu fisiologi dengan isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan seharian remaja, program ini memberi peluang kepada para peserta untuk memahami fungsi otak, faktor-faktor yang mempengaruhi kesejahteraan mental serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat. Aktiviti berbentuk amali dan interaktif turut memberi peluang kepada pelajar meneroka ilmu sains di luar bilik darjah, di samping memupuk rasa ingin tahu serta minat terhadap bidang STEM.
Program ini turut menampilkan ceramah khas bertajuk “Gaya Hidup & Kesihatan Mental Remaja”, yang disampaikan oleh Prof. Dr. Noor Azimah Mohd. Aziz dari Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, UKM.
Program ini telah berjaya dilaksanakan dengan sokongan dan sumbangan daripada pelbagai organisasi dan individu, termasuk Qasehdiani Enterprise, Kimi Enterprise, TML Lab Sdn. Bhd., Innowawasan Sdn. Bhd., Teepham Medical Sdn. Bhd., Labquib (M) Sdn. Bhd., Ridge Biomed Sdn. Bhd., Jament’s Advertising, HEJIM serta warga UKM.
Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM telah menganjurkan Mini Simposium Siswazah 5.0, sebuah platform akademik yang menghimpunkan pelajar siswazah untuk membentangkan perkembangan dan dapatan penyelidikan masing-masing.
Melalui sesi pembentangan yang dinamik serta perbincangan interaktif bersama panel pensyarah, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempertajam kemahiran komunikasi saintifik, menerima maklum balas yang membina, dan memperkukuh kefahaman terhadap bidang penyelidikan yang diceburi.
Tahniah kepada semua pelajar yang telah membentangkan hasil penyelidikan mereka dan terima kasih kepada para pensyarah yang telah meluangkan masa sebagai panel penilai dan pembimbing.
Jabatan Fisiologi dengan kerjasama syarikat Ridge Biomed Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Bengkel Peralatan Rantaian Sejuk & Pemantauan Suhu pada 24 April 2026. Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 25 orang peserta daripada Fakulti Perubatan UKM dan HCTM.
Terima kasih diucapkan kepada pihak syarikat dan semua peserta yang telah menjayakan bengkel ini dengan jayanya.