Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan

 Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

SEJARAH

Jabatan Fisiologi telah ditubuhkan pada tahun 1970 dengan tertubuhnya Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada awal penubuhan, Jabatan Fisiologi ditempatkan di Jalan Dr. Latif, Kuala Lumpur. Apabila bangunan tetap fakulti siap dibina pada tahun 1978, Jabatan Fisiologi ditempatkan di tingkat 4, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur. Pada Julai 2014, Jabatan Fisiologi dipindahkan ke Bangunan Pra-Klinikal di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM, Cheras, Kuala Lumpur. Bahagian pentadbiran berada di Tingkat 18, manakala bahagian makmal & penyelidikan berada di Tingkat 9.

Ketua Jabatan Fisiologi yang pertama ialah Dr. Abdul Rahim bin Omar. Sehingga tahun 1981, kakitangan akademik jabatan pada awal penubuhannya terdiri daripada tenaga pengajar dari Indonesia. Kini, Jabatan Fisiologi diterajui oleh Profesor Madya Dr. Siti Fatimah Ibrahim sebagai Ketua Jabatan dan dibantu oleh 11 orang kakitangan akademik, seorang kakitangan Pengurusan & Profesional dan 12 orang kakitangan Pelaksana. Aktiviti utama jabatan adalah mengajar kursus fisiologi kepada pelajar prasiswazah (Program Perubatan, Pergigian, Kejururawatan, Sains Audiologi dan Pertuturan serta pelajar diploma) dan Program Sarjana Sains Perubatan (Fisiologi).

Selain itu, para pensyarah di Jabatan Fisiologi juga terlibat secara aktif dalam penyelidikan dan penyeliaan pelajar siswazah (Sarjana Sains Perubatan dan Doktor Falsafah) dan pelajar prasiswazah Ijazah Doktor Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan.