SIDANG MEJA BULAT PPTI 2025 Mengukur Ketelusan Parti Politik, Mengukuh Kepercayaan Awam

Pada 22 Disember 2025, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) dengan kerjasama Westminster Foundation for Democracy (WFD) telah menganjurkan Sidang Meja Bulat (RTD) yang membentangkan dapatan laporan akhir Indeks Ketelusan Parti Politik (PPTI) 2025. Acara ini menghimpunkan lebih 20 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, ahli politik, penyelidik politik serta aktivis masyarakat sivil. Perbincangan berlangsung dalam suasana yang terbuka dan kritis, dengan tumpuan kepada satu persoalan utama mengenai kebertanggungjawaban awam setiap parti politik di Malaysia.

Kajian PPTI 2025 yang diketuai oleh Dr. Haris Zuan Jaharudin, Ketua Pusat Kajian Malaysia-Indonesia (iKMI) bersama Dr. Ramze Endut dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini adalah usaha awal untuk memastikan setiap perubahan ke arah pendemokrasian dapat disukat secara seragam, konsisten dan tepat dengan konteks Malaysia. Lantas, kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan campuran melalui analisis dokumen dan pengumpulan data berdasarkan soal selidik bersemuka. Lima parti politik – merangkumi kalangan parti kerajaan dan pembangkang – dipilih iaitu Amanah, PAS, Bersatu, DAP dan PKR. Wawancara melibatkan tokoh kepimpinan parti yang memegang kedudukan sekurang-kurangnya di peringkat Jawatankuasa Pusat, termasuk tiga daripada lima parti tersebut diwakili oleh Setiausaha Agung atau Penolong Setiausaha Agung.

Bagi memudahkan penilaian, PPTI disusun kepada tiga aspek utama. Pertama ialah politik dalaman parti (internal party democracy), iaitu sejauh mana sesebuah parti bersifat demokratik, terangkum dan kompetitif, sama ada dalam struktur mahupun proses yang terdapat dalam partinya. Kedua ialah ketelusan kewangan (financial accountability), termasuk mekanisme pemantauan, semak imbang dan tahap keterbukaan maklumat dalam pengurusan dana parti. Ketiga ialah jangkauan awam (public outreach), yang menilai sejauh mana parti menyediakan maklumat, saluran berkomunikasi, dan tahap akses mereka terhadap masyarakat.

Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa tahap ketelusan parti politik di Malaysia masih lagi pada tahap yang rendah, tanpa ada mana-mana parti yang melepasi paras 50 peratus. Salah satu dapatan terpenting ialah kelemahan ketara semua parti terletak pada perihal ketelusan kewangan. Semua parti didapati terlalu tertutup dan cenderung membataskan maklumat dalaman organisasi, khususnya berkaitan dana yang diperoleh parti mereka.

Lebih penting lagi, perbincangan dalam RTD ini menegaskan bahawa sistem kepartian di Malaysia boleh kelihatan seolah-olah demokratik dari segi prosedurnya, tetapi masih kabur dari segi amalannya. Misalnya, dapatan kajian ini jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan kewangan adalah hambatan struktur yang sengaja dibina dalam semua parti. Ini menafikan andaian bahawasanya kelemahan ini adalah kegagalan terpencil bagi sesebuah parti semata-mata. Selain itu, walaupun penggunaan media sosial dalam kalangan ahli mahupun pemimpin parti tinggi, malangnya perbincangan yang bersifat dua hala antara parti dan masyarakat masih lagi terbatas. Apatah lagi, jurang keterangkuman juga masih tebal apabila wanita dan belia masih kurang diwakili dalam badan membuat keputusan, meskipun wujud pelbagai sayap parti.

Secara keseluruhannya, PPTI 2025 menyerlahkan ketidaktelusan ketelusan parti politik di Malaysia. Kepincangan ini bukan sekadar persoalan teknikal, tetapi mampu memberi kesan langsung kepada kepercayaan rakyat terhadap integriti setiap parti politik. Oleh itu, PPTI ini merupakan langkah awal untuk merangka suatu tindakan strategik yang lebih menyeluruh, termasuk pembaharuan perundangan berkaitan pembiayaan politik, membina keterangkuman dalam kepimpinan parti, dan mempertingkatkan tahap kebolehcapaian parti untuk orang awam.

Akhir sekali, IKMAS dan WFD berharap PPTI ini dapat terus diperkukuhkan sebagai penanda aras pembaharuan politik yang bersifat objektif, seimbang dan sentiasa berasaskan realiti politik mutakhir. Pada masa hadapan, kajian rintis ini juga wajar diperluas kepada lebih banyak parti politik melampaui parti yang bersifat kewilayahan dan yang berasaskan identiti politik tertentu. Dengan pendekatan ini, kajian yang kelak dilakukan tersebut diharapkan dapat menangkap kehendak sebenar rakyat Malaysia terhadap sebuah politik yang berakauntabiliti.