PERDAGANGAN PEMACU PERTUMBUHAN: KE ARAH EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI
Detail
| Author | : Tham Siew Yean |
| Publisher | : Penerbit UKM |
| Year | : 2012 |
| Number of Pages | : 80 |
| Reference/Download | : Click here |
Summary
Dasar komersil dan perdagangan antarabangsa adalah antara cabang yang tertua dalam pemikiran ekonomi. Daripada Yunani purba sehingga sekarang, para cendekiawan, penggubal dasar dan pakar ekonomi yang telah mempersoalkan sama ada perdagangan memberi manfaat atau mudarat kepada pembangunan negara, sering berusaha untuk menentukan dasar perdagangan yang terbaik untuk sesebuah negara. Secara khusus, sumbangan perdagangan dan peranan dasar perdagangan dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi terus menjadi bahan perdebatan yang hebat, memandangkan kedua-dua penyelidikan teori dan empirik masih belum dapat mengemukakan bukti yang muktamad dan kukuh. Perdagangan antarabangsa di Malaysia sudah mempunyai akar umbi yang lama kerana Kepulauan Melayu telah terlibat secara aktif dalam perdagangan antarabangsanya lama sebelum ketibaan orang Eropah di rantau ini. Selepas merdeka, perdagangan terus mendominasi pembangunan Malaysia sehingga kini, sebahagiannya kerana saiz negara yang agak kecil berbanding dengan kebanyakan negara jiran di rantau ini. Kekurangan ekonomi ikut skel dalam pengeluaran domestik telah mendorong Malaysia mengambil orientasi luaran, manakala eksport negara menyediakan pertukaran wang asing yang amat diperlukan untuk membeli import, selain menjana hasil bagi pembangunannya. Namun, usaha untuk mencapai pertumbuhan tidak harus dipenuhi oleh perdagangan antarabangsa semata-mata. Ini disebabkan fenomena yang kompleks, seperti pertumbuhan tidak dapat ditentukan oleh satu faktor penyebab atau suatu dasar sahaja. Sebaliknya, kepustakaan mengenai pertumbuhan secara umum menunjukkan ada tiga aliran pemikiran utama tentang enjin pertumbuhan dalam ekonomi moden, iaitu perdagangan antarabangsa, institusi dan geografi. Sehubungan dengan itu, sebaik-baiknya perdagangan boleh dianggap sebagai pemacu atau penentu pelengkap pertumbuhan dan bukan sebagai satu-satunya enjin atau penentu tunggal pertumbuhan dalam mana-mana ekonomi. Dalam membahas sumbangan perdagangan kepada pertumbuhan Malaysia, syarahan ini akan meneliti empat isu penting. Pertama, apakah wacana semasa dari segi teori dan bukti empirik mengenai sumbangan perdagangan kepada pertumbuhan? Kedua, apakah pengalaman Malaysia dalam memanfaatkan perdagangan antarabangsa untuk pertumbuhannya? Ketiga, apakah cabaran utama masa kini dalam perdagangan antarabangsa Malaysia? Keempat, dasar bagaimanakah yang perlu dilaksanakan oleh Malaysia untuk dapat memanfaatkan perdagangan agar boleh menyumbang kepada usaha pembangunannya untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi? Walaupun sumbangan perdagangan ke atas pertumbuhan itu diteliti berdasarkan pengalaman Malaysia, isu-isu yang dikaji dalam syarahan ini juga penting bagi ekonomi lain yang sedang membangun yang juga berminat untuk memanfaatkan perdagangan demi pertumbuhan serta maju melepasi status negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.