Sambutan Hari Integriti Nasional dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2023

Unit Integriti & Ombudsman mengadakan Sambutan Hari Integriti Nasional dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Tahun 2023 di Bilik Senat, Bangunan Canselori UKM, hari ini.
 
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani ini diadakan bagi memberi kesedaran, meningkatkan pemahaman serta menyebarluaskan kepentingan nilai integriti khususnya kepada warga Universiti Watan.
 
Dalam ucapannya, Prof Dato’ Dr. Wan Kamal menegaskan bahawa integriti dalam warga UKM amat penting memandangkan setiap keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil perlulah dilaksanakan dengan penuh amanah, telus, tiada konflik kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa, berakauntabiliti dan patuh kepada peraturan, garis panduan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
 
Pada majlis ini juga, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak menyampaikan Wacana Integriti bertajuk “Memahami Integriti Dalam Lembayung T.E.R.A.S UKM”.
 
Semua warga UKM yang hadir turut melafazkan ikrar integriti yang diketuai oleh Ketua Unit Integriti & Ombudsman UKM, Prof. Madya Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin.
 
Hari Integriti Nasional merupakan acara tahunan yang disambut pada 5 November setiap tahun. Pada tahun ini, Hari Integriti Nasional diraikan dengan tema ‘Integriti Citra Malaysia Madani’ iaitu sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang menyatakan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai, etika dan akhlak masyarakat.
 
Sementara itu, sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 yang disambut pada 9 Disember 2023 adalah bertemakan “Uniting The World Against Corruption”, yang melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk penuntut antarabangsa dalam memupuk nilai-nilai seperti integriti, berakhlak tinggi dan penuh beretika dalam kehidupan seharian.
 
Turut hadir ke majlis ini adalah Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Hj. Sadakkuthulla dan Penasihat Undang-Undang, Prof. Dr. Salawati Mat Basir.
 
 
Sumber: Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM
 
 
 

Similar Posts