Fakulti Perubatan UKM telah melancarkan Program Pesakit Piawai pada awal tahun 2007 untuk tujuan pembelajaran dan peperiksaan pelajar perubatan. Pesakit-pesakit piawai berkenaan terlibat dalam pengajaran klinikal dan perkembangan kendiri dan profesionalisme. Dengan bantuan pesakit piawai para pelajar dilatih untuk mengambil riwayat pesakit, menjalankan pemeriksaan fizikal, dan berkomunikasi dengan pesakit piawai. Matlamat utama program ini adalah untuk melatih para pelajar untuk menjadi doktor atau paramedik yang lebih sensitif dan menghormati kehendak pesakit, berkebolehan, beretika, dan profesional.Pesakit piawai atau SP (Standardized patient) adalah individu yang dilatih untuk membawa watak sebagai seorang pesakit sebenar. Beliau akan membawa sesuatu watak yang khusus dan konsisten dalam setiap senario lakonannya. Pesakit piawai ini penting dalam konteks pembelajaran dan peperiksaan pelajar perubatan dan sains kesihatan. Penggunaan SP ini telah digunakan secara meluas di kebanyakkan fakulti perubatan di seluruh dunia. Ia memberi peluang kepada para pelajar perubatan dan sains kesihatan untuk berinteraksi dengan pesakit yang sebenar sepertimana tugas mereka kelak sebagai seorang pengamal perubatan dan kesihatan.
Jabatan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM mempunyai matlamat untuk memperlengkapkan pelajar perubatan dan sains kesihatan dengan kemahiran klinikal yang kompeten, kemahiran berkomunikasi dan juga bersifat profesional.
Sesi yang dianjurkan oleh Program Pesakit Piawai memberikan pengalaman pembelajaran dengan menggunakan pesakit piawai. Komitmen dan dedikasi sebagai seorang pesakit piawai adalah amat dihargai dan akan dipastikan agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam suasana kerja yang sihat dalam unit ini.
Ini merupakan pekerjaan sambilan dan masa bekerja adalah fleksibel. Anda akan dibayar minimum RM30.00 (sejam) dan masa minimum lakonan/latihan adalah selama 4 jam sehari.
Anda dikehendaki menguruskan pelepasan kerja daripada pihak majikan anda kerana kami tidak akan memberi surat pelepasan kerja bagi peserta yang terlibat.