Jabatan Pendidikan Perubatan

Department of Medical Education

LATAR BELAKANG

Jabatan Pendidikan Perubatan (JPP) telah ditubuhkan pada tahun 1989. Jabatan Pendidikan Perubatan (JPP) ditubuhkan sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan Fakulti Perubatan, UKM. Jabatan ini bertanggungjawab mengurus dan menyelaras penggubalan dan pelaksanaan kurikulum pendidikan perubatan serta merupakan jabatan yang terlibat secara langsung dalam pembangunan kurikulum Fakulti Perubatan.

Jabatan ini banyak terlibat dalam mengendalikan bengkel-bengkel penyediaan kandungan kurikulum, kemahiran fasilitasi, kemahiran mengajar, penilaian kurikulum, penyelidikan, penambahbaikan kurikulum, Kem PPD Fakulti Perubatan, Program Pesakit Piawai, e-Learning dan pentadbir untuk sistem akademik dan kurikulum. Bilangan kakitangan di jabatan ini adalah seramai 21 orang yang terdiri daripada tujuh orang kakitangan akademik, tiga orang kakitangan professional, 11 orang kakitangan sokongan dan seorang pembantu penyelidik.

Misi utama jabatan ini ialah melaksanakan inisiatif pendidikan perubatan untuk menyokong pembelajaran berterusan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah. Manakala visi jabatan ini ialah berhasrat untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan serantau di dalam bidang pendidikan perubatan dan pusat rujukan pendidikan perubatan dan lain-lain profesional kesihatan.

Selaras dengan perkembangan Program Transformasi PPUKM, jabatan ini turut sama menjayakan program ini. Beberapa perubahan telah dilaksanakan dari semasa ke semasa seperti menaiktaraf keceriaan, meningkatkan motivasi dan sahsiah kakitangan, mengemaskini dokumen dan bahan bercetak dan sebagainya.

Pada tahun 2013, jabatan ini telah melalui proses penstrukturan semula dimana jabatan ini dibahagikan kepada dua bahagian yang utama iaitu Bahagian Implimentasi dan Sokongan Kurikulum (Curriculum Implementation & Support) serta Bahagian Penyelidikan dan Kecemerlangan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (Research & Excellence in Teaching Learning).

Antara tujuan utama penstrukturan semula jabatan ini ialah meningkatkan kecemerlangan dalam penyelidikan yang berkaitan dengan pendidikan perubatan, menyokong program sarjana muda dan program pasca siswazah, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pensyarah perubatan dan seterusnya memberi pengiktirafan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Jabatan ini akan terus berkembang pada masa hadapan selaras dengan misi dan visinya ke arah sebuah pusat kecemerlangan pendidikan perubatan. Jabatan ini sentiasa berusaha melaksanakan kurikulum yang terkini disamping melahirkan pensyarah dan pelajar perubatan yang berkualiti, berakhlak dan berdaya saing di peringkat universiti dan antarabangsa.