- This event has passed.
Program Jalinan Siswa-Komuniti: “Meh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!”

Dalam negara semakin bergerak ke hadapan ke arah negara maju, Malaysia dilihat masih terikat dengan cabaran-cabaran dalam institusi pendidikan, agama, tempat tinggal dan pengagihan kemakmuran yang timbul rentetan daripada isu etnisiti dan hubungan etnik dalam masyarakat hari ini. Hal ini menjadi lebih ketara apabila fahaman dan pengalaman hidup dibentuk dan dipengaruhi oleh perspektif lensa etnik (ethnic lens) yang menekankan kepada aspek perbezaan antara ‘kita’ dengan ‘mereka’, dan bukannya kepada aspek-aspek sepunya. Malah, kecenderungan sebegini dikatakan kian menebal dalam masyarakat kontemporari hasil daripada mainan politik dan media. Keadaan ini dilihat membimbangkan sehinggakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini telah mengingatkan rakyat terutamanya golongan belia supaya menjiwai prinsip Rukun Negara yang penting dalam pembinaan jati diri kebangsaan. Bertitik tolak daripada seruan ini, Institut Kajian Etnik (KITA) mengambil inisiatif untuk menjalankan satu program kolaborasi bersama-sama Pusat Citra UKM dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor (PPBNKLS) untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar UKM untuk mengenali kepelbagaian etnik di negara ini melalui satu program yang dikenali sebagai Program Jalinan Siswa-Komuniti: “Meh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya!”
Program ini merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran kepada mahasiswa/i UKM khasnya pelajar-pelajar yang mengambil kursus LMCW2173 Hubungan Etnik pada Semester 1, Sesi 2019/2020. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih luas dan secara langsung tentang komuniti Baba dan Nyonya sebagai satu contoh komuniti etnik minoriti yang ada dalam masyarakat multietnik di Malaysia. Hasil kajian 325 orang pelajar daripada empat set terpilih* tentang sejarah, bahasa, makanan, budaya tradisi, pakaian, hiburan dan tokoh personaliti komuniti Baba dan Nyonya dipamer dan dipersembahkan pada program ini. Selain itu, program jalinan siswa-komuniti ini juga melibatkan sesi perkongsian bersama ahli-ahli panel yang terdiri daripada ahli komuniti Baba dan Nyonya yang berjaya dalam bidang masing-masing. Melalui program ini, penganjur berharap ianya mampu menjadi satu platform yang berkesan bagi golongan belia seperti para pelajar UKM untuk mengenali dengan lebih dekat dan berinteraksi secara langsung dengan komuniti Baba dan Nyonya sebagai satu contoh komuniti etnik minoriti dalam meraikan wadah warisan dan kerukunan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

Pautan buku atur cara