Kunjungan rasmi delegasi Kursi UNESCO UTHM, 30 Julai 2025
Pada 30 Julai 2025 (Rabu), KITA telah berbesar hati menerima kunjungan rasmi delegasi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersempena penerimaan UTHM selaku pemegang Kursi UNESCO dalam bidang ‘TVET Educator Competence and Transversal Skills for Professional Development’, baru-baru ini. Delegasi yang diketuai oleh Prof. Dr. Jailani Md Yunos dan terdiri daripada Prof. Madya Dr. Lai Chee Sern, Prof. Madya Dr. Tee Tze Kiong dan En. Ahmad Khirul Nizam Bin Ali telah disambut oleh Pengarah Pengasas KITA merangkap Penyandang Kursi UNESCO UKM Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Felo Penyelidik KITA Dr. Nurul Akqmie Badrul Hisham selaku Pengurus Kursi UNESCO UKM.
Antara tujuan dan perbincangan utama sempena kunjungan tersebut adalah untuk mendapatkan perkongsian pengalaman KITA di mana Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul AB merupakan Penyandang Kursi UNESCO dalam bidang ‘Social Practices in Intercultural Communication and Social Cohesion’ yang ditempatkan di KITA-UKM sejak Februari 2019. Sesi perbincangan dua hala Kursi UNESCO UTHM dan Kursi UNESCO UKM tersebut turut merangkumi pertukaran idea dan pandangan mengenai pelaksanaan dan pengoperasian kursi UNESCO di Malaysia serta potensi-potensi kerjasama antara kedua kursi UNESCO khususnya dalam bidang penyelidikan dan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Nota: Aktiviti ini menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari aspek SDG17.


Album foto: klik di sini