Wacana GMSN KITA – Salahuddin Ayub: Budak Suci di Lembah Siasah, 29 Disember 2025

Pada 29 Disember 2025, Institut Kajian Etnik (KITA) melalui Global Malaysian Studies Network (GMSN) telah menganjurkan Siri Wacana GMSN buat julung kalinya sebagai platform wacana ilmiah bagi memperkukuh perbincangan intelektual merentasi pelbagai bidang berkaitan melalui satu sesi wacana bertajuk “Salahuddin Ayub: Budak Suci di Lembah Siasah”.
Fokus utama wacana tersebut adalah untuk membincangkan kehidupan, pemikiran dan sumbangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, khususnya dalam landskap politik dan intelektual Malaysia bersempena dengan penerbitan biografi beliau bertajuk ‘Salahuddin Ayub: Budak Suci di Lembah Siasah’ oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2025. Program ini telah menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Dr. Muhaimin Sulam, pengarang biografi Salahuddin Ayub dan penyelidik bebas; YB Senator Mohd Hasbie Muda, Ahli Dewan Negara serta tokoh politik yang rapat dengan Allahyarham; dan Prof. Madya Datuk Dr. Haji Marzuki Mohamad, pensyarah sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Di pihak GMSN selaku penganjur, Felo Penyelidik KITA merangkap Penyelaras Bersama GMSN Dr. Mohd Shaiful Ramze bertindak selaku Pengerusi Majlis dan Moderator manakala Penolong Pendaftar KITA Puan Nurhezreen Othman bertindak selaku urusetia dengan dibantu oleh Pembantu Penyelidik Encik Fakhrurraziey Azrimi.
Sesi wacana yang telah berlangsung di Bilik Keris Perdana, Aras 3, Bangunan Pentadbiran Kolej Keris Mas dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari telah dihadiri oleh orang awam dan warga UKM secara fizikal dan dalam talian melalui Zoom atau Facebook Live.
Nota: Aktiviti ini meyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari aspek SDG4 dan SDG17.



Album foto (Facebook KITA): klik di sini