Faculty of Medicine UKM

FAKTOR KEBERSIHAN ATASI LIPAS, PENYAKIT BAWAAN

Oleh Mohamad Salleh Sulieman (sallehsulieman@ukm.edu.my)

CHERAS – Penjagaan kebersihan secara optimum adalah kaedah paling berkesan menghapuskan lipas sekaligus menghentikan penyakit bawaan serangga ini.

Menurut Dr. Syamsa Rizal, pensyarah dan juga ketua Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, membuang sampah secara teratur dan mencuci peralatan seperti pinggan mangkuk dengan sabun adalah antara amalan terbaik yang boleh dilakukan.

“Selain itu, sisa makanan hendaklah dibuang selepas makan dalam tong sampah yang tertutup,” katanya.

Beliau juga menyarankan premis makanan di restoran atau dapur yang kotor perlu dibersihkan dan dicuci bagi menghapuskan habitat lipas sepenuhnya.

“Lipas adalah serangga berbahaya kerana ia suka tinggal dan membiak di tempat kotor dan busuk.

“Akibatnya, kuman seperti virus, bakteria atau parasit yang berada pada najis atau tempat kotor tersebut akan menempel pada kaki atau bulu-bulu halus pada badan lipas.

“Apabila merayap pada makanan yang terdedah, kuman-kuman ini akan dipindahkan ke makanan tersebut dan menyebabkannya tercemar.

“Lebih teruk, lipas mempunyai tabiat yang buruk iaitu mengeluarkan semula makanan separuh hadam dan meninggalkan najis pada makanan.”

Beliau menambah, kuman akan masuk ke dalam sistem penghadaman apabila seseorang termakan makanan yang telah tercemar.

“Kuman yang berkembang dalam badan akan menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah, demam, cirit-birit dan najis berdarah.

“Antara penyakit bawaan lipas adalah seperti kolera, demam kepialu (tifoid) dan jangkitan parasit usus. Lipas juga diketahui boleh mengakibatkan gejala alahan.”

Lipas adalah serangga bersifat omnivorous iaitu memakan pelbagai jenis material seperti najis, darah kering, rambut, sisa haiwan dan sayuran serta serangga yang mati.

Selain itu, bahan seperti kertas dan kain juga boleh menjadi bahan makanan lipas dan kesan kerosakan dan gigitan pada buku-buku atau pakaian lama yang disimpan di dalam stor dapat dilihat akibat gigitan lipas.


Cara Berkesan Hindari Penyakit Bawaan Lipas

Beliau menyarankan kepada masyarakat agar bersikap prihatin terhadap persekitaran dalam dan luar rumah untuk mencegah diri dan keluarga daripada dijangkiti penyakit bawaan lipas.

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah menutup makanan dengan menggunakan tudung saji kerana bau makanan yang kuat boleh menarik lipas mendekati makanan.

“Selain itu, buang makanan sekiranya terlihat lipas berada pada makanan, jangan biarkan sisa makanan ditinggalkan pada pinggan atau dalam singki semalaman, dan pastikan sisa makanan dan sampah di buang dalam tong sampah yang bertutup rapi.

Bagi kawalan lipas di rumah, beliau memberikan beberapa cara yang berkesan untuk mengawal pembiakan serangga tersebut di rumah.

“Tutup lubang-lubang berpotensi menjadi habitat lipas seperti lubang buangan air pada bilik air, dapur dan mesin basuh untuk mengelakkan kemasukan lipas. Selain itu, perangkap lipas juga boleh digunakan untuk mengurangkan jumlah lipas di rumah.

“Pastikan kawasan rumah bersih daripada kotoran yang menjadi tempat pembiakan lipas dan menjalankan aktiviti pembasmian lipas secara berkala.

Mengulas tentang semburan racun lipas, beliau berkata cara tersebut perlu dilakukan dengan betul.

“Kawalan menggunakan semburan racun lipas adalah sangat berkesan tetapi mesti digunakan dengan cara yang betul,” katanya.


Kenali Lipas dan Habitatnya

Beliau menjelaskan, lipas adalah serangga yang berbentuk leper dan mempunyai struktur luar berwarna coklat atau merah kehitaman yang kelihatan licin dan berkilat serta mempunyai dua pasang sayap yang lebih berfungsi sebagai struktur pelindung dan jarang-jarang digunakan untuk terbang.

“Terdapat beberapa spesies utama yang kebiasaannya boleh dijumpai di dalam rumah iaitu Blatella germanica, Periplaneta americana dan Supella longipalpa,” katanya.

“Saintis telah mengenal pasti terdapat lebih kurang 4000 spesis lipas di seluruh dunia dan 18 spesies daripadanya diketahui sebagai serangga pengganggu di rumah.”

Beliau menambah, daripada aspek habitat, lipas boleh dijumpai di tempat-tempat yang gelap dan lembap seperti di dalam tong sampah, salur kumbahan, almari, laci, di bawah perabot, singki, kabinet dapur dan peti sejuk.

“Serangga ini sangat mudah dijumpai di kawasan dapur, terutamanya jika terdapat lebihan makanan yang ditinggalkan semalaman. Tidak seperti lalat yang aktif di siang hari, lipas lebih bersifat nokturnal iaitu aktif mencari makan pada waktu malam.”

Beliau juga mengulas kitar hidup lipas adalah relatif panjang berbanding serangga lain seperti lalat dan nyamuk.

“Lipas boleh hidup selama beberapa bulan hingga dua tahun, bergantung kepada spesis dan suhu persekitaran. Lipas betina akan mengeluarkan kapsul yang dipanggil ‘ootheca’ yang setiap satunya boleh mengandungi antara 18 hingga 40 biji telur.

“Sepanjang hayatnya, sebanyak 4 hingga 90 ‘ootheca’ mampu dihasilkan. ‘Ootheca’ ini akan dilekatkan pada celahan atau rekahan yang tersembunyi dan kadang kala boleh ditemui melekat pada almari atau permukaan bawah meja sementara menunggu telur-telur menetas menjadi nimfa. Setelah 2 hingga 3 bulan, nimfa-nimfa ini akan berkembang menjadi lipas dewasa,” katanya.


Dr. Syamsa Rizal Abdullah
Pensyarah Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan
Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia