Fakulti Perubatan UKM

🔍 Carian
Ă—

HI ALUMNI PRE-EVENT 2025

Pada 11 Oktober 2025, program Hi Alumni 2.0 Pre-Event telah berjaya dilaksanakan di Diastole Café, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, sebagai inisiatif untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara alumni dan warga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini berlangsung dalam suasana santai namun penuh makna, dengan penglibatan aktif para alumni dan pelajar.

Acara tersebut menampilkan sesi panel istimewa bersama dua tokoh alumni cemerlang, Dato’ Dr. Ruszymah Idrus, pengasas kepada Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif UKM, serta Dr. Aminuddin Saim, pakar ENT terkemuka di sektor swasta. Kedua-dua panelis telah berkongsi pengalaman, cabaran serta pandangan bernas mengenai perkembangan bidang perubatan dan penyelidikan masa kini.

Perkongsian tersebut bukan sahaja memberikan inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan profesional, malah mengukuhkan rasa bangga terhadap pencapaian alumni UKM yang menjadi peneraju dalam dunia perubatan dan sains kesihatan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan program seperti Hi Alumni Pre-Event dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh jaringan profesional antara alumni dan fakulti, serta memperkasa komuniti perubatan UKM secara keseluruhannya.