Muzium Sejarah Alam

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Pusat Koleksi Kultur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMCC) merupakan salah satu unit di bawah Muzium Sejarah Alam, Fakulti Sains Teknologi. Unit ini berfungsi sebagai pusat sehenti dalam penyimpanan kultur mikroorganisma serta perkhidmatan yang berkaitan dengan pembekalan kultur, penyimpanan dan pencirian mikroorganisma. Unit ini mempunyai lebih daripada 200 pencilan yang merangkumi bakteria (139), kulat (91), mikroalga (1) dan yis (8) hasil daripada aktiviti penyelidikan dan kerja lapangan. Koleksi ini juga terbahagi kepada koleksi yang terbuka dan tertutup.

Pemerhatian bakteria di bawah mikroskop

Pusat Koleksi Kultur Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2017 dan didaftarkan dengan World Data Centre for Microorganism (WDCM) dengan akronim UKMCC. Pada peringkat awal, UKMCC ditubuhkan di bawah Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi dan seterusnya ditempatkan di bawah Muzium Sejarah Alam FST. 

Usaha untuk mengumpul dan memelihara kultur mikroorganisma telah diterajui oleh Prof. Dr. Sanusi Janggi bersama Prof. Mohamed Omar dan Prof. Madya Dr Fauzi Daud bermula sejak 1982 melalui entiti Simpanan Kultur Universiti Kebangsaan Malaysia (SKUK). Walau bagaimanapun, SKUK tidak mempunyai makmal khusus dan bergantung kepada makmal penyelidik di FST. Kini, UKMCC beroperasi di makmal Koleksi Kultur UKM, Bangunan Biologi dengan kelengkapan yang cukup untuk pemuliharaan koleksi kultur.

Matlamat

Matlamat utama UKMCC untuk menjadi salah satu pusat koleksi kultur yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam menyokong penyelidikan dan pemuliharaan berkaitan dengan pencilan mikroorganisma tempatan.

Objektif

Objektif penubuhan adalah untuk meyimpan dan memulihara koleksi tempatan yang unik serta menyokong aktiviti penyelidikan berkaitan mikroorganisma di UKM khususnya dan Malaysia umumnya

Sampel-sampel mikrob di makmal kultur