Muzium Sejarah Alam

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Unit Bank Benih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSB) merupakan salah satu unit di bawah Muzium Sejarah Alam, Fakulti Sains Teknologi. Unit ini berfungsi sebagai pusat pemuliharaan dan pemeliharaan sumber genetik tanaman seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran khususnya yang digunakan dalam penyelidikan di UKM. Unit ini menyimpan pelbagai jenis aksesi tanaman termasukla varieti tradisional, varieti liar, kultivar moden dan titisan biakbaka.

 

Aksesi-aksesi ini diperoleh melalui aktiviti penyelidikan, kerja lapangan dan pengkongsian biji benih dengan individu/institusi penyelidikan/pendidikan dari dalam dan luar negara.

UKMSB ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2020 di bawah Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi dan seterusnya ditempatkan di bawah Muzium Sejarah Alam FST. UKM. 

Namun, usaha untuk memelihara dan memulihara sumber genetik tumbuhan di UKM telah bermula sejak tertubuhkan Fakulti Sains UKM pada tahun 1970 lagi dimana aktiviti penyelidikan ketika itu tertumpu kepada pengumpulan sumber genetik tumbuhan untuk tujuan penyelidikan. 

Koleksi ini disimpan dalam pelbagai bentuk samaada di UKMSB dan di bank gen di lapangan (field gene bank).

Matlamat

UKMSB mempunyai matlamat untuk menjadi bank benih yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber genetik tanaman selain menyokong kepada aktiviti penyelidikan berkait jaminan dan keselamatan makanan.

Objektif

  1. Untuk mengumpul, memelihara, mengenalpasti, mencirikan dan menilai koleksi sumber genetik tumbuhan,
  2. Untuk menyokong kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkait jaminan dan keselamatan makanan,
  3. Untuk mendokumentasikan maklumat berkaitan koleksi sumber genetik tumbuhan yang berada di UKMSB,
  4. Untuk menyokong kepada usaha perkongsian sumber genetik tumbuhan dan maklumat berkaitan sumber genetik tumbuhan yang berada di UKMSB.

 

 

 

Sehingga kini, bagi tanaman padi sahaja, UKMSB mempunyai lebih daripada 100 varieti tradisional, 50 kultivar moden, dan lebih 600 titisan biakbaka. Selain itu, UKMSB turut mempunyai lebih 25 aksesi cili, 30 aksesi salad, 30 aksesi kailan, 10 aksesi kacang, dan pelbagai aksesi sayur-sayuran dan buah-buahan lain.